fbpx

Sebak, pertama kali keluar hospital anak tuding jari, panggil ‘mummy’ – Nad Zainal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANAK-anak adalah perkara utama difikirkan Nad Zainal selepas dibenarkan keluar dari hospital beberapa hari lalu.

PETALING JAYA – Muncul dalam sesi siaran langsung (live) menerusi TikTok pukul 8 malam tadi, pelakon Nad Zainal memaklumkan keadaan kesihatannya kini semakin membaik namun masih perlu banyak berehat.

Nad atau nama sebenarnya, Farah Nadia Zainal Abidin, 32, berkata, buat masa sekarang untuk terus sihat, dia perlu menelan 11 biji pil sehari.

“Saya tiada masalah buah pinggang atau long-covid sepertimana dimaklumkan segelintir pihak sebelum ini. Saya cuma ada masalah pendarahan paru-paru.

“Buat masa sekarang saya perlukan banyak rehat seperti saranan doktor. Saya telan 11 biji pil sehari.

“Terima kasih atas doa semua. Saya pun tak tahu apa saya buat melayakkan saya menerima kebaikan ini daripada kalian semua,” katanya.

Sementara itu, pelakon drama Cina Buta itu turut berkongsi perihal yang paling dirinduinya ketika hampir sebulan menerima rawatan sehingga ditidurkan di unit rawatan tapi (ICU) sebuah pusat kesihatan swasta di ibu negara.

Katanya, anak-anak adalah perkara yang paling dirinduinya.

“Bagaimana reaksi anak-anak bila jumpa saya? Sudah tentu gembira. Papa dan mama saya datang terlalu awal (belum waktu daftar keluar hospital).

“Jadi, saya minta kebenaran daripada jururawat nak jalan keluar ke kereta papa. Saya nak tengok anak-anak saya. Itu saja.

“Saya jalan dan buat pertama kalinya saya keluar hospital. Saya boleh berjalan. Saya pergi ke kereta dan jumpa anak-anak saya. Saya nampak Som (anak kedua), dia tuding jari pada saya, ‘mummy, mummy, mummy,’” katanya dalam keadaan sebak dan beremosi.

Lima hari lalu, keadaan kesihatan pelakon drama rantaian, Dendam Seorang Perempuan itu beransur pulih selepas hampir sebulan dirawat di Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, Selangor.

Rakan baiknya yang juga pengarah, Shahrulezad Mohameddin memaklumkan, ibu kepada dua cahaya mata itu sudah sedar dan tidak lagi dirawat di ICU.

“Dia sudah sedar, boleh berbual dan bergelak ketawa,” ujar Shahrulezad, baru-baru ini.

Pada 22 November, media melaporkan Nad dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) akibat jangkitan kuman dan paru-paru berdarah.

Bekas isteri kepada Muhammad Faliq Amirullah itu juga ditidurkan sebagai satu proses rawatan supaya paru-parunya kembali berfungsi dengan baik. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI