fbpx

10,000 sukarelawan Yadim turun bantu mangsa banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tuan Kamarul Arief (kiri) menyantuni mangsa banjir di PPS SK Kompleks Gong Badak, Kuala Nerus hari ini.

KUALA NERUS – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) memperuntukkan RM50,000 dalam misi fasa awal bantuan mangsa banjir di Terengganu dan Kelantan.

Ketua Pegawai Eksekutif Yadim, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh berkata, misi itu meliputi agihan pek makanan, ibadat dan keperluan peribadi selain gotong-royong bersama lebih 150 sukarelawan Yadim.

Beliau memberitahu, Yadim mengambil inisiatif berkenaan bagi meringankan beban dialami mangsa banjir terbabit.

“Selain menyalurkan bantuan makanan dan keperluan peribadi, Yadim turut menyediakan sedikit sumbangan tunai kepada mangsa banjir orang kelainan upaya (OKU) dan merkeka yang terlantar sakit.

“Yadim akan terus bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) lain bagi membantu mangsa yang dilihat sangat trauma dengan musibah ini,” katanya selepas mengetuai misi bantuan Yadim di Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak di sini hari ini.

Tuan Kamarul Arief berkata, berdasarkan pemerhatian pihaknya, antara kawasan paling terkesan ialah Kampung La, Hulu Besut yang sebahagian penduduknya kehilangan tempat tinggal akibat rumah mereka dihanyutkan banjir.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pihaknya akan terus menyusun gerak kerja terutama dalam fasa pemulihan dengan melibatkan 10,000 sukarelawan di seluruh negara.

“Berdasarkan pengalaman lepas, apa yang paling mustahak ialah membantu mangsa banjir untuk kembali bangkit menjalani kehidupan selepas ini.

“Kami bersama NGO lain akan cuba membantu mengurangkan keperitan mangsa,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI