fbpx

Kitar semula botol PET demi kelestarian alam sekitar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DARI kiri: Ketua Perhubungan Pelabur dan Kemampanan AEON Malaysia, Tengku Adrinna Shahana, Nakata dan Amruta sewaktu melancarkan kempen pengumpulan dan kitar semula botol PET di Kuala Lumpur baru-baru ini.

SEJAK sekian lama, isu berkaitan sisa plastik menjadi satu masalah yang dilihat tiada jalan penyelesaian untuk ditangani bukan hanya di Malaysia, malah di peringkat global.

Berdasarkan laporan sebelum ini, dianggarkan lebih 1.1 juta tan sisa plastik termasuk yang sekali guna dikutip pada setiap tahun di seluruh negara.

Hakikatnya, masalah tersebut boleh diatasi jika setiap individu dalam masyarakat mempunyai kesedaran menguruskan sisa plastik dengan sebaiknya.

Bagi meningkatkan kesedaran tersebut, Coca-Cola Malaysia (Coca-Cola) menerusi World Without Waste Vision telah bekerjasama dengan pasar raya terkemuka, AEON Malaysia serta syarikat pemprosesan dan pembuatan produk plastik, Hiroyuki Industries untuk menganjurkan kempen pengumpulan dan kitar semula botol polietilena tereftalat (PET).

Kempen dikenali sebagai Recycling Fantastic itu merupakan kerjasama pertama antara ketiga-tiga syarikat berkenaan.

Matlamat kempen itu adalah bagi menangani isu sisa plastik global menerusi penumpuan terhadap tiga cabang utama termasuk reka bentuk, pengumpulan dan rakan kongsi.

Selain itu, kempen tersebut diharap dapat meningkatkan kesedaran dan tindakan dalam kalangan orang ramai mengenai kepentingan amalan pengasingan plastik serta kitar semula.

Pengarah Operasi Francais, Coca-Cola, Amruta Vaidya berkata, kempen Recycling Fantastic yang diumumkan itu menonjolkan cabang utama pengumpulan dan rakan kongsi dalam World Without Waste Vision.

“Kami percaya bahawa penyelesaian terhadap masalah sisa plastik boleh dirungkai dengan sebaiknya apabila semua pemegang taruh yang berkongsi matlamat sama dapat bekerjasama.

“Kami berbesar hati kerana syarikat seperti AEON Malaysia dan Hiroyuki Industries berkongsi pandangan yang sama dengan kami. Kami berharap kerjasama ini dapat ditingkatkan lagi pada masa depan,” katanya.

Untuk makluman, kempen berkenaan merupakan salah satu daripada inisiatif di bawah World Without Waste Vision iaitu sebuah program kelestarian berpandangan jauh yang dilancarkan oleh Coca-Cola pada 2018.

Kempen berkenaan berlangsung dari 10 Disember lalu hingga 26 Februari 2023 di enam buah pasar raya AEON sekitar Johor.

Enam pasar raya yang menyertai kempen terbabit adalah AEON Mall Bandar Dato’ Onn, Bukit Indah, Permas Jaya, Taman Universiti, Tebrau City dan Kulaijaya.

DIANGGARKAN hanya 16 peratus botol PET berjaya dikumpul dan dikitar semula di negara ini. – Gambar hiasan

Para pelanggan AEON dan orang ramai digalakkan untuk mengumpul botol PET sebelum ditukarkan kepada mata AEON serta produk Coca-Cola.

Bagi setiap satu kilogram botol PET yang dikumpulkan dan dihantar ke pasar raya AEON mengambil bahagian, orang ramai layak menerima 300 mata ganjaran AEON yang akan didepositkan ke dalam kad keahlian mereka.

Mata ganjaran tersebut boleh digunakan untuk menebus ganjaran atau diskaun menarik semasa membeli-belah di pasar raya AEON.

Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan, AEON Malaysia, Dr. Grace Lee berkata, pihaknya menyasarkan untuk berfikir secara global dan menjalankan aktiviti di peringkat tempatan.

“Kami aktif mempromosikan inisiatif yang melibatkan kedua-dua aspek dalam alam sekitar dan kemasyarakatan bersama-sama pemegang taruh lain.

“Kami sedar betapa pentingnya untuk memacu pertumbuhan AEON dalam dunia yang lestari,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan dan Pengasas, Hiroyuki Industries, Nakata Hiroyuki berkata, kadar kitar semula dalam kalangan rakyat Malaysia adalah yang terendah di Asia Tenggara.

Ujarnya, dianggarkan hanya 16 peratus botol PET berjaya dikumpulkan untuk kitar semula di negara ini.

“Pihak kami dapati sebanyak 21 peratus botol PET dibuang secara merata-rata, sekali gus menjejaskan alam sekitar. Sementara itu, baki 63 peratus botol PET lagi dibuang ke tapak pelupusan sampah.

“Menerusi kempen ini, kami berazam untuk mendidik orang ramai bahawa plastik bukannya sampah. Ini kerana plastik seperti botol PET mempunyai nilai yang tinggi jika dikumpul dan diproses sewajarnya,” katanya lagi.

Berpangkalan di Johor Bahru, Johor, Hiroyuki Industries telah memulakan operasinya sebagai pengeluar jalur pengikat polipropilena dan poliester berkualiti tinggi pada Februari 2001.

Dengan pengalaman selama lebih 20 tahun beroperasi di negara ini, syarikat itu berupaya mengitar semula sehingga 550 juta unit botol PET pada setiap tahun.

Menariknya, semua botol PET tersebut diproses menjadi 10,000 tan metrik resin PET kitar semula.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI