PUTRAJAYA – Rata-rata golongan wanita menyifatkan penyampaian influencer atau pempengaruh lelaki dalam menghasilkan kandungan di dalam media sosial lebih kreatif dan menghiburkan.
Kreativiti ditampilkan golongan itu yang membawakan karakter wanita bukan sahaja menjadikan kandungan lebih menarik, malah maklumat juga disampaikan secara menyeluruh.
Penganalisis kandungan digital, Aaina Nadia Naim berkata, kandungan menarik yang dihasilkan golongan itu dengan menampilkan karakter berbeza membuatkan orang ramai tertarik melihat video mereka lebih-lebih lagi apabila terdapat unsur jenaka.
“Secara amnya, kandungan dihasilkan influencer lelaki yang membawakan watak wanita di media sosial sememangnya menjadi antara pilihan netizen.
“Selain kreatif, mereka juga bijak mengendalikan penonton dengan menggunakan elemen jenaka seterusnya membuatkan video yang dihasilkan tidak bosan untuk ditonton.
“Biasanya, orang ramai akan menghabiskan masa melayari media sosial ketika selesai waktu bekerja, jadi mereka mahukan sesuatu (kandungan) yang lebih kreatif dan kelakar bagi menghilangkan rasa penat. Elemen itu antara ditawarkan oleh golongan influencer (lelaki) terbabit,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Aaina Nadia mengulas mengenai laporan muka hadapan Kosmo! Isnin lalu yang memaparkan mengenai tindakan influencer lelaki yang mengenakan pakaian wanita sama ada ketika menjual atau membuat ‘review’ barangan hingga menjadi trend dan ikutan di media sosial.
Mengulas lanjut, Aaina memberitahu, penyampaian influencer lelaki ketika memberikan maklum balas khususnya produk wanita juga dilihat meyakinkan seterusnya membuatkan orang ramai tertarik untuk membeli barangan tersebut.
“Sebagai wanita, kita biasanya mahu melihat orang lain mengenakan sesuatu produk terlebih dahulu sebelum membelinya.
“Jadi apabila lelaki membuat ‘review’ barangan dan mereka cantik sewaktu memakainya, secara tidak langsung ia membuatkan pembeli lebih yakin.
“Jadi, itu antara sebab kenapa maklum balas dibuat influencer lelaki lebih mendapat perhatian wanita kerana golongan itu bijak selain kreatif dalam menggali kemahuan wanita,” jelasnya.
Turut berpandangan sama eksekutif swasta, Farah Nabilah Wazer yang menyifatkan kandungan digital yang dihasilkan influencer lelaki dilihat menyegarkan dan mampu menarik perhatian orang ramai untuk terus menontonnya.
“Bagaimanapun, saya berharap agar mereka tidak berlebihan ketika membawa watak wanita di media sosial kerana bimbang ia akan mengundang kecaman daripada netizen yang kurang senang dengan trend itu.
“Apa yang penting, cukuplah sekadar bersederhana dalam penampilan dan tidak berlebih-lebih. Sebagai penonton, jika terlalu keterlaluan, saya juga akan berasa jengkel dan kurang selesa,”















