fbpx

Gaya santai sokong fesyen lestari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Warna-warna yang terang seperti hijau limau dan merah jambu untuk mereka yang berjiwa berani

SEJAK kebelakangan ini, semakin ramai pereka fesyen dan juga pengasas jenama fesyen sama ada dari dalam mahupun luar negara yang mengorak langkah dengan menghasilkan koleksi busana yang menyokong fesyen lestari.

Hal ini kerana, umum mengetahui bahawa industri fesyen merupakan antara industri paling banyak menghasilkan sisa buangan, yang sekiranya tidak dihentikan, akan memberi kesan buruk kepada kesejahteraan alam sekitar.

Menunjukkan kecaknaan terhadap aspek alam sekitar, Wanzar yang diasaskan oleh Abu Zarin Abdullah merupakan antara jenama tempatan yang menyokong usaha mewujudkan fesyen mampan menerusi koleksi busana kasual Wanzar.

Wanzar yang lebih dikenali menerusi penghasilan busana elegan seperti baju kurung dan juga dres perkahwinan mengambil pendekatan menyokong fesyen lestari atau mampan menerusi pelancaran koleksi kasualnya yang diinspirasikan daripada alam sekitar.

Bagi koleksi itu, pakaian-pakaiannya dihasilkan daripada kapas organik yang bersifat lestari kerana diusahakan tanpa penggunaan racun serangga.

Abu Zarin menampilkan seleksi busana back-to-basics yang sederhana, dengan setiap helaiannya mudah disuai padan dengan helaian-helaian lain.

Busana dihasilkan daripada kain kapas organik yang mana tanaman kapas diusahakan tanpa penggunaan racun serangga.

“Koleksi ini melambangkan keselesaan dan juga kehidupan harian rakyat Malaysia yang gemar tampil dengan busana santai.

“Menerusi koleksi ini, kami menampilkan enam rekaan busana minimalis dengan 17 pilihan warna yang cantik,” ujarnya.

Wanzar mempertaruhkan rekaan ringkas seperti kemeja longgar dan seluar berpotongan straight cut sebagai gaya utama bagi koleksi ini yang sesuai buat setiap peringkat umur.

Rona-rona terang seperti hijau limau dan fuschia menjadi tarikan, lebih-lebih lagi buat si pemakai yang sukakan gaya berani.

Pemilihan kain kapas organik juga menjadikan setiap helaian koleksi itu boleh dipakai banyak kali, untuk satu jangka masa yang panjang.

Tambah Abu Zarin, versatiliti menjadi asas kepada penghasilan koleksi tersebut memandangkan Abu Zarin mahu setiap helaian itu boleh dipadankan dengan mana-mana rekaan dalam koleksi tersebut.

Mengambil inspirasi gaya wanita moden masa kini, terdapat empat set pakaian yang cukup versatil dalam koleksi tersebut, sesuai buat mereka yang mencari kesempurnaan gabungan gaya santai dengan kemampanan.

“Terdapat satu stereotaip bahawa busana bergaya tidak akan bertahan lama serta susah untuk dipadankan dengan pakaian-pakaian lain.

“Koleksi ini merupakan cara kami untuk membuktikan bahawa stigma itu adalah salah, terutamanya dalam era fast-fashion ketika ini.

“Misi utama kami adalah untuk mencipta pakaian yang menjadi pilihan utama pemakai dan sesuai untuk kehidupan harian mereka yang serba moden,” ujar Abu Zarin.

Tambahnya, ini juga merupakan cara Wanzar memberi penghormatan kepada dunia fesyen jalanan tempatan.
Setiap koleksi kasual Wanzar boleh didapati menerusi laman www.wanzar.com.my.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI