fbpx

Ajaran sesat Millah Abraham, Al-Arqam@Rufaqa’ dipantau ketat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Aziz (tengah) bersama penerima ganjaran dan peserta program itu di Auditorium Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sedang memantau ketat sebanyak 14 ajaran sesat yang dikesan masih bergiat aktif di negeri ini.

Ajaran yang didapati menyeleweng itu antaranya ajaran Millah Abraham, Syiah, Al-Arqam@Rufaqa’ dan Qadiani@Ahmadiah.

Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, pemantauan rapi sentiasa dijalankan pihaknya secara berterusan bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Kata beliau, pihaknya mengakui segelintir umat Islam mudah tertarik dengan perkara indah namun tidak menyedari ia sebaliknya terpesong.

“Justeru, kita menasihatkan orang ramai yang berasa curiga atau keliru mengenai sesebuah ajaran supaya segera merujuk kepada MAIS.

“Selain itu, mereka boleh menghubungi Bahagian Penguatkuasaan JAIS untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK) 2022 di Auditorium Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Pada program itu, beliau turut menyerahkan ganjaran RM1.03 juta kepada 81 PIBK yang bernaung di bawah MAIS atas komitmen menangani isu ancaman akidah dan sosial umat Islam.

Semalam, Kosmo! melaporkan kumpulan ajaran sesat Millah Abraham yang dikesan kewujudannya beberapa tahun lalu, kini kembali hangat diperkatakan.

Beberapa pengikut termasuk seorang selebriti lelaki mendedahkan terjebak dengan kumpulan berkenaan.

Jelas Abdul Aziz, orang ramai yang mempunyai kesangsian berkaitan ajaran sesat turut boleh merujuk kepada 97 PIBK yang berdaftar di bawah MAIS.

“Kita termasuk JAIS sememangnya tidak mampu untuk bergerak secara bersendirian terutama bagi menjalankan penguatkuasaan.

“PIBK antara pihak yang turut bekerjasama dengan kita dan terbuka membantu mereka yang terjebak dalam ajaran sesat,” ujarnya.

Tambah beliau, umat Islam dinasihatkan tidak terpedaya dengan ajaran sesat termasuk menerusi media sosial dan merujuknya kepada pihak berkuasa berkaitan. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI