fbpx

Netanyahu mahu wujudkan hubungan diplomatik dengan Arab Saudi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Benjamin Netanyahu - Foto AFP

TEL AVIV – Bakal Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata  bahawa beliau akan berusaha mewujudkan hubungan diplomatik penuh dengan Arab Saudi sebaik sahaja memegang jawatan, lapor portal berita TRT kelmarin.

“Saya fikir kita boleh menamatkan konflik Arab-Israel dan mencapai perdamaian dengan penduduk Palestin. Kita hanya perlu kreatif mengenainya,” kata Netanyahu dalam temu bual bersama stesen televisyen milik Arab Saudi, Al Arabiya Khamis lalu.

Beliau menyifatkan langkah sedemikian anjakan besar untuk keamanan menyeluruh antara Israel dan dunia Arab.

Bagaimanapun, Arab Saudi sebelum ini menegaskan bahawa hubungan diplomatik penuh hanya akan berlaku apabila negara Palestin merdeka ditubuhkan di wilayah yang dijajah Israel pada tahun 1967 selepas berakhirnya Perang Enam Hari.

Netanyahu berkata, beliau akan mencari perdamaian dengan Palestin, mungkin melalui rundingan yang bijaksana,  namun  enggan menyokong penyelesaian krisis di Asia Barat  itu melalui penubuhan dua buah negara berasingan seperti yang disarankan masyarakat antarabangsa.

Sebaliknya, beliau meminta pandangan baharu dan pemikiran kreatif tentang penyelesaian isu tersebut.

Netanyahu turut menyatakan sokongan kepada cadangan yang dicadangkan oleh pentadbiran bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-45, Donald Trump yang secara tegas ditolak oleh penduduk Palestin.

“Saya fikir kita perlu bercakap mengenainya. Mungkin bercakap secara berhati-hati. Saya percaya pada perjanjian terbuka,” katanya.

Pada tahun 2020, Trump mencadangkan plan penyelesaian dengan menawarkan kepada Palestin kemungkinan sebuah negara dengan kedaulatan terhad tetapi Israel akan mendapat  Baitulmuqaddis  sebagai ibu kotanya dan tidak perlu membubarkan mana-mana penempatan haram Yahudi di Tebing Barat, Palestin.

Trump juga berjanji untuk menyediakan AS$50 bilion (RM221.22 bilion) dalam bentuk pelaburan antarabangsa untuk membina entiti Palestin baharu dan membuka kedutaan di negara baharu itu. – Agensi 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI