fbpx

Gadis Kampus: Nur Najwa pejuang suara siswa menerusi politik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GADIS berasal dari Muar, Johor ini aktif dalam politik kampus.

MEMBESAR dengan bapa yang aktif dalam dunia politik telah mencetus minat kepada Nur Najwa Hureen Md. Madid, 21, untuk menyusun langkah menimba ilmu dalam bidang sama.

Sebagai pendedahan awal, pelajar tahun ketiga Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Malaya (UM) itu memilih untuk aktif dalam politik kampus yang kini mula membuka ruang kepada penglibatan mahasiswi.

Katanya, sejak di bangku sekolah lagi, dia yang mesra disapa Nur Najwa sudah aktif dengan pelbagai aktiviti persatuan dan kepimpinan sebagai asas dalam kegiatan politik.

“Minat dalam dunia politik sudah ada sejak kecil. Di kampus, penglibatan saya bermula bersama parti yang dikenali sebagai Demokrat.

“Selain ayah, kecenderungan saya untuk terlibat dalam dunia politik turut dipengaruhi oleh pelajar senior yang banyak mengajar saya tentang politik kampus,” ujar gadis berasal dari Muar, Johor itu.

Jelasnya lagi, penglibatan dalam politik kampus memberi banyak pendedahan kepadanya tentang isu semasa dan perkara yang berkait tentang pendidikan serta mahasiswa.

Kongsi anak sulung daripada dua beradik itu, menjadi pelajar undang-undang secara tidak langsung membantu dirinya memahami dunia politik kampus.

NUR NAJWA (duduk, kiri) sentiasa aktif mendengar suara dan keluhan mahasiswa untuk diketengahkan kepada pihak universiti.

Dalam politik kampus, Nur Najwa lebih memberi fokus kepada suara mahasiswa yang perlu didengar dan diambil peduli oleh pihak berkaitan bersama parti berkecuali.

Dia yang juga Setiausaha Agung Kelab Mahasiswa UM memberitahu, perkara itu lebih wajar diperjuangkan daripada berpihak kepada mana-mana parti kampus sama ada kerajaan atau pembangkang.

“Politik kampus banyak mengajar saya tentang senario politik itu sendiri. Bukan mudah untuk diperjuangkan tetapi tiada yang mustahil untuk diketengahkan.

“Hal ini dibuktikan dalam politik kampus yang kini lebih terbuka dengan penglibatan lebih ramai mahasiswi berbanding sebelum ini hanya didominasi mahasiswa,” ujarnya.

Meskipun aktif dalam politik kampus, Nur Najwa tidak pernah mengabaikan pelajaran.

Selain minat berpolitik, dunia undang-undang adalah bidang yang diminatinya sejak menyambung pengajian ke peringkat asasi di UM.

Kongsinya, tidak pernah terlintas dalam fikirannya untuk menyambung pengajian dalam bidang undang-undang, namun minat itu bercambah kerana terinspirasi dengan kata-kata pensyarahnya.

“Semasa asasi, pensyarah saya selalu menasihati bahawa jika suatu hari nanti ada rezeki menjadi peguam, jangan lupa memanfaatkan kelebihan itu untuk membantu orang lain.

“Peguam bukan hanya untuk mencari wang, tetapi kita boleh menyumbang kembali kepada masyarakat dengan membantu mereka yang memerlukan khidmat guaman,” katanya.

Ujar Nur Najwa lagi, dia mahu membina kerjaya dalam bidang perundangan terlebih dahulu sebelum terlibat dengan dunia politik pada satu hari nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI