fbpx

50 warga asing menetap di sekolah terbengkalai diserbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bangunan sekolah terbengkalai, SK Danau Perdana yang dijadikan tempat tinggal pekerja pembinaan warga asing. - IHSAN SOSIAL MEDIA

KUALA LUMPUR – Kira-kira 50 orang warga asing menjadikan sebuah sekolah terbengkalai di Taman Desa di sini, sebagai penempatan akhirnya terbongkar selepas diserbu polis, hari ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, kesemua warga asing itu merupakan pekerja pembinaan di kawasan berhampiran.

Menurutnya, pihak polis menerima laporan kejadian daripada pengadu yang juga Pegawai Pendidikan Daerah Bangsar.

Katanya, laporan dibuat selepas pengadu terkesan apabila sebuah artikel akhbar mendakwa sejumlah warga asing menetap di Sekolah Kebangsaan Danau Perdana itu yang telah terbiar sejak 2005.

“Kita telah pergi ke lokasi terbabit dan mendapati seramai 50 orang pekerja warga asing menjadikan sekolah tersebut sebagai tempat tinggal.

“Pegawai penyiasat kes telah menasihati wakil pihak pengurusan tapak pembinaan selain melarang pekerja-pekerjanya untuk tinggal di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, Amihizam berkata, pihaknya akan melakukan pemantauan dari masa ke masa bagi mengelakkan perkara itu berulang.

“Orang ramai termasuk warga asing dinasihatkan untuk terus mematuhi segala undang-undang di negara ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI