BERGELAR anak seni sejak lima tahun lalu, Hun Haqeem boleh dikatakan berjaya kekal dalam liganya sehingga hari ini.
Populariti yang didakap pada hari ini bukan kerana dia seorang bintang mi segera atau dikenali kerana kontroversi, namun atas kerja keras sendiri dan mungkin sedikit tuah.
Menyorot semula kanvas kerjayanya, Hun mula meniti di bibir peminat dan meledak selepas muncul sebagai Jekfer dalam drama komedi Kampung People sekitar 2019.
Sejak detik itu, dia terus diberikan kepercayaan pengarah tempatan untuk menggalas watak utama.
Bagaimanapun, anak kelahiran Kuching, Sarawak itu, enggan berasa terlalu selesa dengan setiap perkara yang sudah dimiliki hari ini.
Baginya, perjalanan kariernya yang hanya baru berlangsung sekitar 30 peratus, masih terlalu banyak yang harus dikejar untuk bergelar anak seni berjaya.

Ikhlas, jujur
“Memang tiada kata-kata yang boleh saya ungkap setiap kali melihat semula perjalanan kerjaya sejak beberapa tahun lalu.
“Ini semua atas sokongan dan kepercayaan semua terhadap bakat saya. Harap momentum sebegini berterusan untuk jangka masa lama,” kata pelakon drama Sihir itu kepada HibGlam baru-baru ini.
Ditebak sama ada terdetik rasa tergugat dengan kehadiran ramai pelakon baharu, jejaka berusia 24 tahun itu memandang hal tersebut dari sudut positif.
Pemilik nama lengkap Haqeem Hermy itu juga percaya kemantapan hasil kerja dan disiplin diri antara faktor terus diberikan kepercayaan.
“Ya, industri kita sekarang meriah dengan kehadiran ramai pelakon baharu yang sangat berbakat dan komited dalam kerja mereka.

“Persaingan sebenarnya bagus sebab buatkan seorang pelakon berusaha lebih keras tetapi semua itu haruslah berlaku secara ‘sihat’.
“Saya tidak rasa tergugat sebab percaya semua ini rezeki cuma saya akan terus berikan hasil kerja melebihi 100 peratus dan menjaga imej diri sebaik mungkin,” ujarnya.
Ditanya sama ada mempunyai resipi sendiri untuk kekal relevan dalam pasaran, Hun hanya berpegang kepada satu prinsip iaitu kejujuran.
“Untuk kekal relevan dan mempunyai nilai sepanjang masa memang sukar terutama dalam dunia seni.
“Jika tanya saya tip memang tiada sedangkan saya pun masih hijau. Namun, satu perkara yang saya pegang sehingga hari ini adalah kejujuran.
“Jujur itu saya terjemahkan dalam setiap babak lakonan. Jika ikhlas, penonton pun boleh rasa jiwa dan emosi seorang pelakon, kemudian akan terus melekat dalam ingatan,” jelasnya panjang lebar.

‘Oppa’ Malaysia
Selain kerjaya lakonan yang memuncak, wajah kacak jejaka berkulit cerah itu sering menjadi bualan ramai.
Masakan tidak, selepas mempunyai nama gelaran Jekfer, dia kini digelar pula ‘oppa’ Malaysia kerana dikatakan mempunyai iras aktor Korea Selatan.
Sedar tentang gelaran yang berlegar-legar dalam media sosial, Hun berterima kasih atas pujian diberikan, namun tidak pernah menganggap dirinya mempunyai ciri-ciri seperti jejaka Korea.
“Saya tak pernah pun rasa seperti lelaki Korea apatah lagi bangga dengan gelaran tersebut, namun terima kasih untuk semua pujian.
“Kalau orang nak tahu, dalam kepada saya ini sebenarnya sudah tetapkan ingin jadi hero Melayu terakhir seperti Remy Ishak,” katanya seraya mengakhiri perbualan.















