fbpx

Berkongsi rezeki tanda bahagia Cik Puan Gojes

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismaniza (enam dari kiri) mendapat sokongan yang baik daripada suami, keluarga dan kakitangan syarikat untuk berjaya dalam bisnes kosmetik.

BALING – Misinya dalam dunia keusahawanan adalah mahu mencari duit dan mahu mendapatkan sebanyak-banyaknya nilai tersebut bukan untuk bermegah diri tetapi me­realisasikan niat bagi membahagiakan insan di sekeli­lingnya dan masyarakat.

Itulah tanda bahagia pengasas produk CPG Cosmetics, Ismaniza Fahida, 40, atau lebih dikenali sebagai Cik Puan Gojes yang telah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Wanita Ikon Malaysia 2022 di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada pertengahan Oktober lalu.

Hasil gigih usahawan ini dalam bidang perniagaan selain pengorbanan dan niat berkongsi rezeki bagi membantu golongan yang memerlukan, telah menyenaraikan beliau sebagai pemenang utama dengan menewaskan sembilan peserta lain yang lebih hebat latar belakang dan kerjaya masing-masing.

Wanita yang menetap di sini telah mula mencari duit poket sendiri ketika baru berusia sembilan tahun bagi membantu ibunya, Siti Fatimah Dani dan ba­panya, Ismail Nor dengan menjual laksa pada sebelah pagi, manakala menjual jeruk buah-buahan pada sebelah petang.

“Saya bgitu bersemangat mahu memberikan kehidupan yang lebih baik kepada kedua-dua ibu bapa serta keluarga.

“Pelbagai pengalaman perit dan bernilai telah menjadi modal mematangkan diri saya dalam dunia perniagaan,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Usahawan yang mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dan merupakan bekas guru Bahasa Inggeris itu pernah berbakti kepada anak muridnya sejak tahun 2004 di Sekolah Kebangsaan (SK) ­Seksyen 9, Kota Damansara, Selangor; SK Kelian Intan, Perak dan pada tahun 2007 hingga 2016 berkhidmat di SK Baling.

Beliau pernah mengambil cuti tanpa gaji selama enam tahun untuk memberikan tumpuan kepada perniagaan dan alasan menjaga anak keduanya yang baru lahir, kemudian mula mengajar semula pada tahun 2021 di SK Syed Syeh, Kupang, Kedah.

Namun, pada Jun lalu, Isma­niza nekad untuk meletakkan jawatannya dalam tempoh 24 jam kerana tidak dapat memberikan sepenuh perhatian dalam kerjaya sebagai seorang pendidik kerana tidak mahu mengabaikan bidang keusahawanan yang telah diceburinya sekian lama.

Ismaniza menerangkan, perniagaan sulung yang diceburinya adalah bisnes spa di sini tetapi tidak mendapat sambutan daripada pelanggan kemudian membuka butik pengantin, namun ia tidak memenuhi keinginan dirinya kerana ia adalah satu perniagaan bermusim.

Bidang jualan tudung dengan jenamanya sendiri juga gagal di­ikuti dengan pelbagai jualan lain yang dicubanya se­perti menjual baju, laksa dan produk makanan tambahan.

“Pada tahun 2012, saya mendapat idea dan berjaya memelancarkan produk dengan nama sendiri iaitu CPG supaya ia kekal dan tidak diciplak oleh usahawan lain.

 

“Dengan modal permulaan sebanyak RM250,000 serta di bawah jenama CPG Cosme­tics, saya telah mengeluarkan pelbagai jenis produk kecantikan se­perti asas solekan, bedak kompak, maskara, eyebrow gel, eyebrow definer, celak, sheer glow foundation dan tiga jenis warna pembayang mata,” jelas­nya.

Ternyata langkah kanan Ismaniza menjadi dan mencatat jualan yang menggalakkan setiap tahun.

Melaluinya juga, beliau telah menerima pelbagai anugerah seperti Anugerah Kosmetik Terbaik Kedah 2018, Anugerah Inovasi Solekan Terbaik 2018 dan Anugerah Ikon Usahawan Utara 2019.

“Perniagaan saya pernah mengalami zaman kejatuhan pada tahun 2018 hingga 2019, meskipun masa kejatuhan itu sangat singkat, namun kesannya amat besar terutamanya ketika itu jualan produk CPG memang melonjak naik.

“Namun, ke­rana saya tidak pandai menguruskan kewangan syarikat dan menggunakan hasil jualan dengan membeli banyak aset seperti rumah, kedai dan kereta ­menyebabkan simpanan menyusut sedangkan komitmen lain harus dibayar,” ujarnya.

Selama setahun beliau dan suaminya berusaha memulihkan kegawatan ekonomi dengan pelbagai cara, akhirnya syarikat berjaya keluar daripada kemelut tersebut.

Ia menjadi pengajaran terbaik buat dirinya untuk sentiasa berhemah dalam perbelanjaan.

Mengulas lanjut mengenai Anugerah Wanita Ikon Malaysia 2022 yang dimenanginya itu, Ismaniza membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 dan barang kemas bernilai RM10,000.

Sebanyak RM10,000 daripada hadiah itu digunakan untuk membantu orang ramai melalui Tabung Kebajikan Pertubuhan Cik Puan Gojes Malaysia, manakala baki RM20,000 diagihkan kepada pekerja dan keluarganya sebagai hadiah untuk menghargai usaha mereka.

“Apabila sudah sampai ke tahap ini, timbul pelbagai idea untuk membantu kumpulan wanita miskin dan kurang upaya agar bangun dan bangkit daripada kehidupan mereka,” katanya.
Kemenangan itu juga telah membuka peluang untuknya melakukan kerja-kerja kebajikan selain disokong oleh pelbagai pihak untuk merea­lisasikan misi menderma dan membantu. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI