fbpx
LEWANDOWSKI percaya Poland masih memiliki harapan dalam pertembungan dengan Perancis di pusingan 16 pada Piala Dunia Qatar 2022 di Stadium Al Thumama malam ini. – AFP

Piala Dunia: Poland bakal guna taktikal ‘Polish Mourinho’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOHA – Meskipun tidak memiliki nama besar di pentas bola sepak di peringkat global, kelibat pengendali Poland, Czesław Michniewicz sentiasa menghadirkan rasa gerun termasuk pengikut setia bola sepak di Perancis.

Selepas berjaya melepasi aksi Kumpulan C, Poland bakal menjadi ujian sulung buat Perancis untuk mempertahankan kejuaraan ketika kedua-duanya bakal membuat perhitungan di pusingan 16 terbaik di Stadium Al Thumama malam ini.

Sekalipun sering tampil de­ngan cara membosankan se­perti yang sering dimainkan oleh Jose Mourinho, ramai mula sedar yang Michniewicz sudah miliki resipi terbaik hingga mampu bawa pasukan melepasi peringkat kumpulan.

Daripada apa yang dipamerkan pada aksi awal, pendekatan dimainkan Michniewicz de­ngan menerapkan corak ber­tahan mula mencetuskan kritikan hingga media di Perancis menggelarkan jurulatih itu de­ngan panggilan ‘Polish Mourinho’.

Bagi ayam tambatan Poland, Robert Lewandowski, kekalahan Perancis di tangan Tunisia pada perlawanan terakhir Kumpulan D memberikan harapan kepada skuad The White Reds untuk cipta kejutan ke atas juara bertahan itu.

“Perancis adalah pasukan pilihan. Jadi, kami perlu memperbaiki kelemahan pasukan dan berharap kami mampu mencipta masalah kepada mereka terutamanya ketika mengatur serangan.

“Perancis miliki pasukan yang cukup baik, namun kami sudah menyaksikan perlawanan mereka menentang Tunisia. Kami rasa tiada apa yang mustahil,” katanya.

Selain menghamburkan kri­tikan kepada Michniewicz, laporan RMC Sport juga me­lancarkan perang psikologi apabila melabel Poland pasukannya yang membosankan hingga Lewandowski menjadi ‘mangsa’ untuk mengikut arahan jurulatihnya dan dipaksa bekerja keras untuk melakukan tugasan bertahan. – AGENSI

POPULAR