fbpx

Piala Dunia: Argentina benam Australia, lolos ke suku akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lionel Messi meraikan kejayaan membantu Argentina melangkah ke kelompok lapan pasukan terbaik Piala Dunia kali ini.

DOHA – Pasukan Argentina menepati ramalan mara ke suku akhir saingan Piala Dunia 2022 selepas menewaskan Australia 2-1 pada aksi pusingan 16 terbaik di Stadium Ahmed bin Ali awal pagi sebentar tadi.

Pada aksi tersebut, skuad La Albiceleste membariskan kesebelasan terbaik dengan jentera serangan diketuai oleh Lionel Messi, Papu Gomez dan Julian Alvarez.

Wakil Amerika Selatan itu tidak mempunyai masalah untuk mendahului saingan menerusi ledakan gol pada minit ke-35 hasil jaringan Messi selepas menerima hantaran Otamendi.

Gol tersebut menjadi jaringan ke-789 buat pemain Paris Saint-Germain (PSG) sepanjang kariernya selepas mengharungi 1000 perlawanan kompetitif.

Bersambung pada babak kedua, skuad kendalian Lionel Scaloni lebih rancak menyerang dengan memasukkan pemain gantian, Lautaro Martinez untuk digantikan dengan Gomez.

Jentera serangan Argentina lebih tajam dengan Alvarez menjaringkan gol kedua selepas bijak memperdayakan benteng pertahanan Australia sekali gus menewaskan penjaga gol, Matt Ryan pada minit ke-52.

Australia berusaha untuk menyerang dan mendapatkan gol saguhati menerusi jaringan sendiri Enzo Fernandez sekali gus menghidupkan peluang ketika saingan berbaki 13 minit.

Skuad Soccerroos hampir membawa aksi ke masa tambahan tetapi ledakan Garang Kuol pada masa kecederaan gagal menerjah jaring dengan kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Argentina dijadualkan bertemu dengan Belanda pada saingan suku akhir minggu depan. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI