fbpx
JEPUN melakukan kejutan apabila menjuarai Kumpulan E selepas berjaya menewaskan dua gergasi Eropah, Sepanyol dan Jerman. – AFP

Piala Dunia: Jepun sudah letak sasaran baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOHA – Selepas berjaya me­numbangkan Sepanyol 2-1 awal pagi semalam, pasukan gergasi Asia, Jepun memasang impian tinggi apabila bertekad untuk melangkah ke peringkat suku akhir Piala Dunia 2022.

Ketua Jurulatih Jepun, Hajime Moriyasu menegaskan dia meletak azam baharu sejurus kejayaan luar biasa pasukan kendaliannya itu menjuarai saingan Kumpulan E hasil dua kemena­ngan ke atas Jerman dan Sepanyol.

Hasil kemenangan tersebut, skuad Samurai Biru akan berdepan naib juara Kumpulan F, Croatia pada pusingan 16 pasukan terbaik pada Isnin ini.

Sebagai rekod, ini adalah kali keempat Jepun mara ke pusi­ngan kalah mati, tetapi mereka belum pernah mara melebihi peringkat itu.

“Dari segi penamat, sasaran baharu kami ialah lapan pasukan terakhir. Pemain mempamerkan aksi terbaik bersama dan mampu bersaing dengan pasukan pe­ringkat dunia.

“Sudah pasti, kemenangan ini melonjakkan semangat pemain dan kami ingin cipta rekod baharu melangkah ke kelompok lapan terbaik atau lebih tinggi.

“Apapun, saya ingin meng­ucapkan terima kasih kepada semua penyokong kami, rakyat Jepun, di atas sokongan mereka sehingga kami mampu mengharungi perlawanan sukar ini.

“Saya gembira dapat membawakan kemenangan ini kepada semua orang dan menghasilkan keputusan yang menggembirakan,” kata Moriyasu.

Pada saingan tersebut, dua pemain Jepun yang beraksi bersama kelab Jerman iaitu Ritsu Doan dari SC Freiburg dan Ao Tanaka (Fortuna Düsseldorf) muncul wira apabila masing-masing meledak gol pada minit 48 serta 51.

Sepanyol pula gagal menewaskan penjaga gol Jepun, Shuichi Gonda buat kali kedua dalam aksi itu selepas membuka tirai jaringan seawal minit ke-11 menerusi Alvaro Morata. – AGENSI

POPULAR