fbpx
KIM Young-kwang menangkap perhatian peminat selepas menjadi seorang pembunuh psikopat dalam siri baharu Netflix Korea, Somebody.

Pembunuh psikopat kacak versi Kim Young-kwang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IMPAK siri baharu terbitan Netflix Korea berjudul Somebody, nama aktor tinggi lampai Kim Young-kwang kini hangat meniti di bibir penggemar naskhah K-drama.

Bukan hanya tentang fizikal kacak dimilikinya, namun kemunculan Young-kwang selaku pembunuh psikopat dengan aura menawan membuatkan ramai jatuh hati, terpana dek karakter.

Biarpun mengusung genre thriller dan mengerikan, namun siri tersebut menjadi yang paling hangat ditonton dalam platform Netflix apabila menduduki tangga ketiga carta global.

Naskhah berkenaan mengisahkan seorang pencipta aplikasi ‘dating’ Somebody bernama Kim Sum lakonan Kang Hae-lim yang memiliki kesukaran bergaul dengan orang lain.

PADA hari pertama tayangan Somebody, Young-kwang berasa janggal dan langsung tidak menonton lakonan sendiri kerana bimbang dengan reaksi penonton.

Dia bagaimanapun mempunyai dua rakan baik iaitu Im Mok-won (Kim Yong-ji) dan Yeong Ki-eun (Kim Soo-yeon) yang bekerja sebagai detektif.

Satu kes pembunuhan berlaku dan aplikasi Somebody didakwa ada kaitan dengan tragedi tersebut sehinggalah menemukan Kim Sum dan rakan-rakannya dengan seorang pereka seni bina bernama Sung Yoon-oh lakonan Young-kwang.

Merupakan seorang yang memiliki daya penarik, hakikatnya Yun-oh menyembunyikan satu rahsia yang tidak terduga.

Kisah cinta ngeri

Sejak dilancarkan secara rasmi pada 18 November lalu, Somebody pantas mencipta trending kerana di sebalik genre thriller, jalur ceritanya bertunjangkan ‘sensuality’.

Dipenuhi babak-babak dewasa yang pastinya tidak sesuai untuk tayangan 18 tahun ke bawah, bagaimanapun konsep sebegitu cukup mudah menyita perhatian khalayak.

Young-kwang sendiri banyak terlibat dalam babak panas siri tersebut dan mengakui berasa agak canggung ketika awal tayangan menyapa penonton.

Bahkan ketika ditebak tentang babak panas yang sedikit mengejutkan penonton tentang tahap batas lakonannya, aktor berusia 35 tahun itu ada pendapat berbeza.

YOUNG-kwang meminta penonton yang sudah menonton Somebody untuk berulang kali menyaksikan naskhah berkenaan setidak-tidaknya sekali lagi kerana mahu mereka mendapat lebih banyak keseronokan menerusi sebuah paparan kisah cinta ngeri yang jarang disiarkan.

“Saya tak rasa babak-babak itu terlalu melampau. Keperibadian Yoon-oh yang saya pamerkan ada aura menyeramkan.

“Tetapi pada masa sama, drama ini menonjolkan jalan cerita yang mesra, namun ada kisah cinta mengerikan,” ujarnya.

Dalam usaha menyelami keperibadian susuk lelaki misteri dan mengerikan, aktor kelahiran Incheon itu melalui beberapa kali proses transformasi bentuk fizikal.

Hal ini kerana, pada awalnya dia beranggapan watak Yoon-oh merupakan seorang lelaki berbadan besar sehingga gigih menaikkan berat badan sehingga 93 kilogram (kg).

“Kemudian saya fikir, ini macam dah agak keterlaluan. Jadi saya berbincang dengan pengarah dan kecilkan saiz badan.

“Proses mempersiapkan badan sangat menyeronokkan. Berat badan naik sampaikan muka saya tembam (ketawa).

“Tetapi saya mahu Yoon-oh ada imej yang ‘tajam’, jadi saya turunkan berat badan dengan hanya makan keledek manis sekali sehari,” kongsinya.

Kepuasan, keyakinan

Sejak memulakan langkah dalam dunia lakonan pada 2008, Young-kwang dikenali sebagai pelakon yang memiliki aura lelaki romantik dan maskulin.

Bahkan ketika mencipta fenomena menerusi drama romantik komedi, On Your Wedding Day bersama aktres Park Bo-young, dia diberi jolokan ‘Boyfriend’ oleh peminat.

Maka kehadirannya dalam naskhah gelap berjalur misteri seperti Somebody membuka mata ramai bahawa aktor itu memiliki kemampuan lakonan luar biasa.

Bahkan misi Young-kwang sewaktu menjayakan watak Yoon-oh adalah untuk menjelmakan sisi mengerikan pada pandangan penonton.

BERMULA sebagai model, Young-kwang bersama rakan pelakon lain yang juga berawalan selaku peragawan digelar ‘Model Avengers’ oleh peminat.

“Saya mahu orang kata, ‘dia menyeramkan’ atau ‘ini cerita pembunuh bersiri versi baharu’ ketika menonton siri ini.

“Jadi saya banyak berbincang dengan pengarah untuk menjadikan Yoon-oh sangat menyeramkan.

“Contohnya babak di dalam tab mandi (antara babak mengerikan). Bukankah itu kali pertama penonton lihat babak sedemikian?” ujarnya.

Seiring dengan penjelmaannya sebagai pembunuh psikopat, lelaki berketinggian 189 sentimeter itu menemui erti kepuasan bergelar seorang pelakon.

Menerusi Somebody, tidak pernah timbul seinci rasa sesalan biarpun perlu menayangkan badan dan melakukan babak-babak kontroversi kerana daripada situ, Young-kwang menemui suatu kepuasan.

“Dari dahulu saya selalu cakap yang saya memang mahu cuba pelbagai watak.

“Jadi apabila berpeluang membintangi naskhah seperti Somebody, saya gembira dapat lakukan sesuatu yang berbeza,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN