fbpx
GAMBAR HIASAN/AFP

Kejutan hangatkan Piala Dunia Qatar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAINGAN Piala Dunia 2022 kali ini menyaksikan bukan sahaja beberapa kontroversi melibatkan tuan rumah penganjuran, Qatar yang timbul, namun turut diwarnai dengan beberapa keputusan mengejut.

Kekalahan Argentina ketika berdepan Arab Saudi menjadi mukadimah, sebelum beberapa lagi siri kejutan termasuk melibatkan kekalahan juara dunia empat kali, Jerman ketika berdepan Jepun.

Kejayaan Arab Saudi dan Jepun melakar kejutan tersebut membuatkan kerajaan masing-masing menjadi terlalu gembira sehingga mengambil keputusan memberikan cuti umum kepada seluruh rakyat mereka.

Bagaimanapun, Arab Saudi tewas pada aksi kedua menentang Poland sebelum ini, namun saingan Kumpulan C masih terbuka apabila The Green Falcon hanya perlu menewaskan Mexico pada aksi terakhir untuk layak selepas kali terakhir mereka melakukannya pada 1994.

Penyandang juara dunia, Perancis pula berjaya memadamkan ‘sumpahan’ yang sering dikaitkan dengan juara edisi terdahulu yang sering tersingkir di peringkat kumpulan apabila sudah mengesahkan slot ke pusingan kalah mati apabila meraih dua kemenangan.

Sumpahan yang menimpa juara edisi sebelumnya bermula apabila Itali yang merupakan juara 2006 gagal melepasi peringkat kumpulan di Afrika Selatan pada 2010, begitu juga Sepanyol yang pulang awal dari Brazil pada 2014, manakala Jerman turut terlekat badi itu di Rusia pada 2018.

Saingan Kumpulan D mungkin hanya melibatkan Australia dan Denmark untuk merebut slot kedudukan naib juara, apabila The Socceroos hanya memerlukan keputusan seri, namun Denmark perlu menang untuk mengulangi magis seperti di Euro 2020.

Kumpulan E dianggap cukup menarik apabila Jerman berdepan kemungkinan tersingkir di peringkat kumpulan buat kali kedua berturut-turut dan mereka tidak ada pilihan kecuali menewaskan Costa Rica.

Jerman juga perlu mengharapkan ihsan Sepanyol untuk menewaskan Jepun pada aksi terakhir bagi menjamin tempat mereka di pusingan 16 pasukan terbaik.

Dalam pada itu, satu lagi pasukan gergasi, Belgium yang berada dalam Kumpulan F juga berdepan risiko tersingkir jika mereka meneruskan aksi longlai seperti yang dipamerkan ketika menentang Maghribi sebelum ini.

Berdepan Croatia pada aksi terakhir bukanlah tugas mudah buat The Red Devils ketika skuad kendalian Zlatko Dalic itu juga mahu mempertahankan status mereka sebagai finalis 2018.

Selain itu, kebimbangan yang meresahkan pengendali Belgium, Roberto Martinez pastinya mengenai kemampuan Kanada untuk menyekat Maghribi kerana kemenangan pasukan itu boleh menyebabkan mereka terpaksa pulang awal.

Qatar yang menjadi tuan rumah edisi kali ini pula gagal menyerap tekanan apabila menjadi pasukan pertama tersingkir, malah mereka mencipta sejarah sepanjang 92 tahun penganjuran Piala Dunia apabila menjadi hos yang tewas pada aksi pertama serta kalah pada aksi kedua.

Ketika artikel ini ditulis, hanya Perancis, Brazil dan Portugal yang sudah mengesahkan kemaraan ke peringkat kalah mati. -KOSMO! ONLINE

POPULAR