fbpx
Anwar (tengah) ketika menghadiri Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya kelmarin.

Anwar bentuk kabinet esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Proses pembentukan Kabinet Kerajaan Perpa­duan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu diwujudkan selewat-lewatnya minggu hadapan memandangkan sesi Dewan Rakyat yang antara lain memberi fokus kepada usul percaya Perdana Menteri dijangka berlangsung pada 19 Disember ini.

Pakar perlembagaan, Prof. Dr. Ahmad Marthada Mohamed berkata, barisan Kabinet baharu perlu dibentuk sebelum tarikh persidangan itu bagi membo­lehkan sesi pembentangan usul percaya, selain Bajet 2023 dapat dilaksanakan dengan lancar.

“Lantikan Kabinet baharu perlu dibuat selewatnya ­minggu depan. Kita tidak boleh tunggu lama ekoran Bajet 2023 perlu dibentangkan semula di Dewan Rakyat sebelum 31 Disember ini.

“Tanpa barisan Kabinet, pembentangan itu sukar dilakukan berikutan menteri yang bakal dilantik memerlukan sedikit masa untuk membuat persiapan, selain mengadakan perbincangan di peringkat kementerian,” katanya ketika dihubu­ngi semalam.

Ahmad Marthada juga percaya, Bajet 2023 yang dibentangkan kelak akan me­ngalami beberapa perubahan memandangkan ­Anwar mempunyai hala tuju sendiri dalam membangunkan negara selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Pastinya, Bajet 2023 itu akan disesuaikan dengan apa yang diinginkan kerajaan baharu.

“Sebelum ini, belanjawan itu dibuat kerajaan Perikatan Nasional (PN), namun apabila Pakatan Harapan (PH) membentuk gabungan kerajaan perpaduan selepas PRU15, mereka semesti­nya mempunyai acuan sendiri.

“Dalam konteks ini, barisan Kabinet perlu ada segera dan ia bukan sahaja untuk sesi persidangan Dewan Rakyat, namun penting dalam menyelesaikan pelbagai isu dihadapi negara ketika ini,” jelasnya.

Menurutnya, tanpa lantikan segera Kabinet, pelbagai dasar kerajaan terutamanya bagi menyelesaikan beberapa isu pen­ting seperti peningkatan kos sara hidup, kelembapan ekonomi, pelaburan asing, pembangunan fizikal, selain kepentingan Sabah serta Sarawak sukar dilakukan.

“Jadi, kerajaan tidak boleh menangguh lagi dalam urusan itu dan perlu dilaksanakan segera bagi memastikan segala transformasi dirancang dapat dijalankan segera demi memberi manfaat kepada rakyat,” ujar­nya.

Ketika ini, persoalan berhubung pelantikan Kabinet pimpinan Anwar masih menjadi teka-teki selepas ia masih belum mempunyai sebarang gambaran berhubung Ahli Parlimen mana yang bakal dilantik memegang jawatan tertinggi kerajaan itu.

Bagaimanapun, Anwar sebelum ini menjelaskan, pembentukan Kabinet baharu pimpinan­nya akan bersaiz kecil, selain tidak akan dibuat berasaskan pemberian ‘ganjaran’ kepada parti yang menyokong beliau.

POPULAR