fbpx

Restoran kari di Britain mungkin terpaksa gulung tikar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Restoran India menghadapi krisis peningkatan harga borong bahan-bahan mentah ketika musim sejuk melanda UK. - AFP

LONDON – Restoran-restoran yang menyediakan masakan kari India di Britain berdepan  kenaikan harga bahan mentah sehingga sebahagiannya terpaksa ditutup, lapor akhbar Daily Mirror semalam.

Banyak restoran kari ditutup kerana pelanggan semakin sedikit, manakala peningkatan kos harga borong menjadikan perniagaan tersebut semakin sukar di Britain.

Satu daripada empat restoran India yang menyediakan masakan kari telah ditutup sejak tahun 2007 dan yang tinggal dan masih beroperasi pula terus bergelut untuk bertahan ketika krisis peningkatan kos sara hidup di negara tersebut.

Pemilik Restoran Everest Inn, di Blackheath, London, Yadav Bhandari berkata kepada Daily Mirror: “Harga segala-galanya telah meningkat. Kos untuk membuat hidangan melambung tinggi. Tenaga, ramuan dan tenaga kerja semuanya menelan belanja yang jauh lebih tinggi”.

Dalam pada itu, Salim Chowdhury yang merupakan pemilik Restoran Coriander di Harrow, London Utara selama sedekad telah menyaksikan kenaikan bil gas daripada £2,500 (RM13,492) sebulan kepada £6,900 (RM37,238) dan bil elektriknya daripada £1,000 (RM5,396) kepada £1,912 (RM10,318). 

Bagaimanapun, ketika restoran itu cuba untuk menaikkan harga menu makanan sebanyak 15 peratus, orang ramai mengeluh dengan tindakan tersebut.

Menurut Chowdhury: “Ini bukan tentang menjana wang, ini tentang bertahan. Ia bertujuan untuk mengelak daripada menghadapi kesukaran.”

Dia telah menggunakan wangnya sendiri sebanyak £10,000 (RM53,968) untuk perniagaan restoran tersebut dan menambah: “Saya tidak tahu berapa lama saya boleh melakukannya.”

Azad Hussain yang mengendalikan restoran Koloshi di Cheltenham selama sedekad berkata, setiap minggu, harga barangan akan naik kerana dia pernah membeli sekotak mentega dengan harga £22 (RM118.73) tetapi ia kemudian meningkat kepada £40 (RM215.87). 

Dia mempunyai ramai rakan dalam industri itu yang kini menghadapi kesukaran sehinggakan semangat kakitangan sangat rendah dan pemilik restoran turut berdepan masalah untuk mengupah pekerja. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN