fbpx

Reka fesyen guna bahan terpakai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemenang dan peserta yang menyertai pertandingan reka fesyen daripada barangan terpakai anjuran Alam Flora di Kuala Lumpur baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) komited menyokong aspirasi kerajaan mengurangkan sebanyak 40 peratus sisa boleh dikitar semula menjelang tahun 2025 melalui anjuran pertandingan reka fesyen daripada barangan terpakai, Waste is Amazing.

Memasuki tahun ke sembilan pertandingan itu dianjurkan, pada tahun ini, program tersebut dilaksanakan dengan tema Amazing Fantasia: Where Animations Come to Life.

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Datuk Mohd. Zain Hassan berkata, pertandingan akhir bagi acara itu menyaksikan sembilan pereka tempatan dari seluruh Malaysia, menggabungkan kemahiran serta kreativiti masing-masing.

Kesemua peserta perlu mereka pakaian yang diperbuat daripada bahan kitar semula yang berwarna-warni dan diilhamkan menerusi watak-watak anime yang terkenal.

“Pemilihan awal telah dibuat oleh jawatankuasa dan Alam Flora telah menerima lebih 30 penyertaan.

“Kali ini, peserta pertandingan kebanyakannya terdiri daripada penuntut pusat pengajian tinggi dari Semenanjung Malaysia.

“Ini amat menggalakkan kerana ia menunjukkan bahawa kesedaran orang ramai tentang 3R iaitu kepentingan, kegunaan dan minat, semakin berkembang,” katanya dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.

Mohd. Zain menerangkan, inisiatif Alam Flora ini dapat mewujudkan peluang dan membantu meningkatkan amalan pembudayaan 3R bagi mengurangkan jumlah sisa pepejal di tapak pelupusan sampah di Malaysia.

Pertandingan pada tahun ini juga menampilkan juri-juri profesional yang terdiri daripada Ketua Komunikasi Korporat dan Penjenamaan Alam Flora, Suriati Mohammad Mokhtar; Pengasas bersama Generasi Peduli Sampah (GPS), Datin Norelan Ismail dan selebriti tempatan, Amir Alif.

Sementara itu, Timbalan Pengurus Besar (Bahagian Operasi) Alam Flora, Raja Kamal Azizol Raja Ibrahim berkata, beliau berasa teruja untuk melihat kreativiti peserta-peserta program tersebut pada tahun ini selepas dua tahun acara itu diadakan secara virtual berikutan wabak Covid-19.

Beliau amat berbangga kerana program itu masih mendapat sambutan penyertaan luar biasa dari seluruh negara termasuk peserta yang bukan berlatar belakang bidang fesyen.

“Saya sangat teruja dan kagum dengan kreativiti semua peserta kerana bukan mudah untuk hasilkan sesuatu menggunakan barang kitar semula.

“Penganjuran ini juga salah satu inisiatif berkaitan dengan 3R di mana kitar semula bukan sahaja boleh dibuat dengan aktiviti di rumah, malah boleh juga digunakan untuk acara seperti ini,” katanya.

Pertandingan Waste is Amazing pada tahun ini menyaksikan Muhammad Hafiz Zakaria, 29, dari Petaling Jaya memenangi tempat pertama dan berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM2,000 serta 30,000 mata ganjaran Mesra Petronas bersama trofi dan sijil dari Alam Flora.

Tempat kedua pula berjaya dimenangi oleh Danish Rizal dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 dengan 20,000 mata ganjaran Mesra Petronas, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Nur Hidayah Zamri.

Pemenang tempat ketiga menerima wang tunai RM1,000 bersama 10,000 mata ganjaran Mesra Petronas, trofi serta sijil penyertaan.

Dalam pada itu, Muhammad Hafiz ketika ditemui pemberita berkata, dia amat teruja dinobatkan sebagai juara pada penyertaannya buat kali yang ketiga dalam program tersebut.

“Saya berterima kasih kepada Alam Flora kerana menganjurkan program ini.

“Program ini menjadi satu platform buat orang ramai untuk berkarya dengan bahan-bahan boleh dikitar semula,” katanya.

Muhammad Hafiz yang juga graduan Institut Kemahiran Belia Negara, Peretak berkata, dia bersedia untuk menyertai pertandingan fesyen anjuran Alam Flora itu sekiranya dianjurkan lagi tahun hadapan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI