fbpx
TSAI ING-WEN meninggalkan sebuah pusat mengundi selepas mengundi dalam pilihan raya datuk bandar di Bandar Baharu Taipei kelmarin. -- AFP

Presiden Taiwan letak jawatan ketua parti pemerintah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPEI – Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen meletak jawatan sebagai ketua parti pemerintah selepas partinya mengalami kekalahan dalam pilihan raya tempatan, manakala pembangkang utama yang mesra Beijing mengukuhkan kedudukannya.

Pengundi memilih datuk bandar, majistret dan pelbagai jawatan lain di 22 buah bandar serta daerah pada pilihan raya kelmarin yang disifatkan Ing-wen sebagai pentas untuk menunjukkan ‘keazaman Taipei dalam mempertahankan kebebasan serta demokrasi’ ketika Beijing meningkatkan tekanan ke atas Taiwan.

Bagaimanapun, parti pimpinannya, Parti Progresif Demokratik (DPP) hilang empat daripada enam kerusi datuk bandar utama termasuk ibu kota, Taipei.
“Keputusan pilihan raya tidak seperti yang dijangkakan. Saya wajar memikul semua tanggungjawab dan saya meletak jawatan sebagai pengerusi DPP serta-merta,” kata Ing-wen yang kekal sebagai Presiden Taiwan kepada pemberita.

DPP hanya menang di lima buah bandar dan daerah secara keseluruhan berbanding 13 kemenangan oleh parti Kuomintang (KMT).
Pungutan suara bagi menurunkan usia mengundi daripada 20 tahun kepada 18 tahun juga ditolak pengundi.

China menganggap pulau pemerintahan sendiri itu sebagai sebahagian wilayahnya yang akan dirampas satu hari nanti. Beijing menjadi lebih tegas ke atas Taiwan di bawah Presiden Xi Jinping.

Ketegangan memuncak ke peringkat tertinggi dalam tempoh bertahun-tahun pada Ogos lalu apabila Beijing mengadakan latihan tentera besar-besaran di sekitar Taiwan bagi membantah lawatan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat, Nancy Pelosi ke Taipei.

KMT yang berpendirian menggalakkan hubungan lebih erat dengan China, berikrar akan bekerja keras untuk mengekalkan keamanan di rantau berkenaan.

“Kami akan mendedikasikan diri kami kepada penduduk Taiwan supaya KMT mempunyai peluang untuk menang pilihan raya Presiden dalam tahun 2024,” kata pengerusinya, Eric Chu. – AFP

 

POPULAR