fbpx

Filem Spilt Gravy dominasi pencalonan FFM32

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DARIPADA 26 pencalonan, filem Spilt Gravy arahan Datuk Zahim Albakri Ikmal mendominasi Festival Filem Malaysia ke-32 (FFM32) sebanyak 14 pencalonan.

KUALA LUMPUR – Filem Spilt Gravy arahan Datuk Zahim Albakri Ikmal mendominasi 14 daripada 26 pencalonan pada Festival Filem Malaysia ke-32 (FFM32) yang akan berlangsung di Encore, Melaka pada 2 Disember depan.

Filem tersebut dicalonkan dalam kategori Rekaan Busana Terbaik, Penataan Seni Terbaik, Skor Muzik Asal Terbaik, Lagu Tema Terbaik, Sinematografi Terbaik, Penyunting Terbaik, Pelakon Wanita Harapan
(Bernie Chan dan Joelah Charles) dan Pengarah Harapan.

Filem yang menampilkan Allahyarham Jit Murat sebagai penulis skrip tersebut turut bersaing dalam kategori Cerita Asal Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Juliana Ibrahim).

Sementara tiga lagi kategori lain ialah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Datuk Rahim Albakri), Pelakon Wanita Terbaik (Bernie Chauly) dan Pelakon Lelaki Terbaik (Datuk Rahim Razali).

PELAKON veteran, Datuk Rahim Razali tercalon dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem Spilt Gravy.

Spilt Gravy sebelum ini pernah diklasifikasi tidak sesuai untuk tayangan umum oleh Lembaga Penapis Filem (LPF) pada 2012 berikutan terdapat beberapa babak kontroversi.

Bagaimanapun, selepas diolah beberapa kali, filem tersebut akhirnya mendapat kelulusan pada Mac 2020.

Sementara itu, mengekor rapat ialah filem ketenteraan Air Force The Movie Selagi Benyawa yang meraih 13 pencalonan iaitu kategori Cerita Asal Terbaik, Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik serta Pengarah Terbaik.

Filem Juang yang memberikan penghormatan kepada petugas barisan hadapan ketika berdepan fasa pandemik lakonan Janna Nick, Izzue Islam, Zul Ariffin dan Sangeeta Krishnasamy pula meraih 10 pencalonan.

Tidak ketinggalan menyerlah filem Abang Long Fadil 3 arahan Syafiq Yusof yang mencatat sembilan pencalonan membabitkan Penyunting Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Ozlynn Wati) dan Pengarah Terbaik.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Profesor Dr. Md. Nasir Ibrahim berkata, filem yang dipilih lebih baik berbanding tahun lalu berdasarkan jumlah tontonan, kutipan dan maklum balas positif penonton.

“Hakikatnya tiada kajian khusus untuk membuat perbandingan antara kualiti filem yang bertanding pada musim lalu dengan tahun ini.

“Tetapi berdasarkan sambutan, respons penonton serta kutipan setiap naskhah menampakkan kualiti filem pada FFM kali ini lebih baik,” katanya pada sidang media selepas pengumuman finalis FFM32.

Pada masa sama, FFM32 bermatlamat menjana jaringan dan kerjasama strategik antara kerajaan dengan pihak industri menerusi pelaksanaan program yang mengangkat profesionalisme pemain industri.

MD. Nasir menjelaskan, filem yang bersaing pada FFM32 lebih baik berdasarkan jumlah tontonan, kutipan dan maklum balas positif penonton.

“Festival ini adalah manifestasi kepada usaha pembudayaan sinema kepada masyarakat melalui karya berkualiti bagi mewujudkan sistem sokongan kepada pemerkasaan industri,” ujarnya.

Bertemakan Filem Kita, Citra Kita, festival tersebut dijangka dimeriahkan dengan kehadiran lebih 1,400 jemputan termasuk 250 artis tercalon serta 21 artis veteran Singapura dan tempatan.

Seniman serta seniwati yang diundang antaranya Wahid Satay, Hashimah Yon, Datuk Rosnani Jamil, Dayang Sofea, Sofia Ibrahim dan ramai lagi.

Anugerah yang menggandingkan Awal Ashaari dan Che Puan Sarimah Ibrahim sebagai pengacara turut diserikan persembahan Datuk Zainal Abidin, Siti Nordiana, Marsha, De Fam, Azlan & The Typewriters, Ernie Zakri, Amir Masdi, Hazama serta Han Byul.

Penyampai trofi pula membariskan Zul Ariffin, Ummi Nazeera, Hairul Azreen, Adrian Teh, Jasmine Suraya, Faizal Hussein, Hanis Zalikha, Ashraf Muslim, Nam Ron, Fify Azmi, Sangeeta dan Jason Chong.

Tahun ini, FFM menyaksikan penyertaan 55 buah filem selain penambahan tiga kategori baharu iaitu Anugerah Filem Antarabangsa Terbaik, Anugerah Filem Pendek Terbaik serta Anugerah Seniwati Sepanjang Zaman. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI