Apakah hukum sengaja memberikan makanan yang haram kepada kucing peliharaan?
Jawapan:
Sesuatu bahan yang tidak diketahui secara pasti kandungannya dihukum sebagai suci, melainkan setelah dapat dikenal pasti ia mengandungi najis.
Tiada hukum halal dan haram bagi kucing dalam bab makanan kerana haiwan tidak termasuk dalam kumpulan mukallaf.
Jika makanan kucing yang telah dipastikan itu mengandungi bahan haram atau najis dan ia pula dikendalikan oleh seorang Muslim, maka terkait pada Muslim itu hukum berkaitan sentuhan bahan yang bernajis.
Mulut kucing adalah suci walau apa yang dimakannya, selagi tidak terdapat kesan najis pada mulutnya.
Berdasarkan hadis Nabi SAW, kucing tergolong dalam kumpulan haiwan suci termasuk lebihan air liurnya sekalipun pada kebiasaannya kucing memakan najis seperti tikus dan seumpamanya. Antara hadis tersebut: Daripada
Kabshah binti Kaab bin Malik, dahulunya beliau isteri anak Abi Qatadah (Abdullah), beliau menceritakan bahawa Abu Qatadah ke rumahnya. Lalu beliau (Kabshah) mencurahkan air wuduk untuk Abi Qatadah, tiba-tiba datang seekor kucing lalu minum dari bekas air wuduk tersebut. Lalu Abu Qatadah menghulurkan bekas air tersebut kepada kucing itu agar ia dapat minum daripadanya. Kata Kabshah: “Beliau (Abu Qatadah) melihat daku memerhatikannya. Lalu beliau berkata: “Apakah kamu hairan wahai anak perempuan saudaraku?” Aku menjawab: Ya. Lalu beliau berkata: “Sesungguhnya kucing bukan haiwan yang najis. Ia termasuk dalam kalangan haiwan yang sentiasa berlegar di sekitarmu.” (Riwayat Abu Daud dan dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih Abi Daud)
Kesimpulannya, kucing tidak terikat dengan hukum makanan halal seperti seorang manusia yang mukallaf.
Jika bahan yang najis seperti makanan binatang bernajis terkena pada seseorang, maka dia hendaklah membersihkan mengikut kaedah pembersihan seperti ditetapkan dalam fiqah.













