fbpx

Mahkamah: Zeti cuti sakit, tidak beri keterangan 1MDB esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tan Sri Zeti Akhtar

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu saksi utama bekas Gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dalam perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Datuk Seri Najib Tun Razak, tidak dapat hadir memberi keterangan esok kerana cuti sakit selama dua hari.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib saksi penting dalam perbicaraan itu mendapat cuti sakit akibat demam panas, vertigo dan muntah.

“Saya menerima pesanan teks daripada pegawai penyiasat (IO) sekitar 11.56 pagi ini memaklumkan bahawa Tan Sri Zeti yang sebelum ini saya maklumkan akan datang esok.

“Saya telah memaklumkan melalui peguamnya kepada IO bahawa beliau tidak sihat dan mendapat cuti sakit selama dua hari,” kata Ahmad Ikram.

Pagi tadi media melaporkan Zeti dijangka hadir esok bagi memberi keterangan dalam perbicaraan kes berprofil tinggi itu.

Ahmad Akram memaklumkan kepada mahkamah, Zeti bersedia sebagai saksi pendakwaan dan mungkin akan dipanggil memberikan keterangan.

Dalam perbicaraan sebelum ini, Bekas Pengarah Bukan Eksekutif Ambank, Cheah Tek Kuang memberitahu mahkamah, Zeti mengetahui akaun Najib akan menerima sumbangan AS$100 juta daripada Arab Saudi pada tahun 2011.

Menurut Tek Kuang, dalam pertemuan empat mata, Zeti mengambil maklum mengenai perkara itu dan memintanya supaya ia perlu dilakukan mengikut peraturan bank dan BNM sedia ada.

Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Bekas menteri kewangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Sementara bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI