fbpx

Piala Dunia: ‘Ubi muda’ tumpuan di Qatar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
EDUARDO CAMAVINGA

PENANTIAN selama empat tahun akhirnya terlerai apabila saingan Piala Dunia 2022 di Qatar akan membuka gelanggang secara rasmi menerusi perlawanan sulung antara tuan rumah Qatar dan Ecuador di Stadium Al Bayt awal pagi Isnin ini.

Seperti kebiasaan, nama-nama besar dalam arena bola sepak dunia akan menjadi tumpuan dan ia tidak terkecuali buat pemain-pemain muda yang disebut-sebut bakal menjadikan kejohanan itu sebagai medan untuk ‘meletup’.

Selain ia sebagai platform memperagakan aksi terbaik, pemain-pemain itu juga sepatutnya menjadikan Piala Dunia sebagai pentas menaikkan harga pasaran masing-masing menjelang jendela perpindahan nanti.

Hari ini, Kolum Fakta Kosmo! menyenaraikan lapan pemain muda yang dijangka menyinar bersama pasukan masing-masing pada kejohanan teragung arena bola sepak dunia itu.

 

EDUARDO CAMAVINGA
Umur: 20 tahun
Negara: Perancis
Kelab: Real Madrid
Posisi: Tengah

Camavinga merupakan pemain yang menjadi rebutan banyak kelab ternama Eropah, namun dia membuat pilihan untuk menyertai Real Madrid pada jendela perpindahan musim panas lalu dengan nilai £34.96 juta (RM188.21 juta).

Dia berjaya memikat hati peminat Real apabila berjaya menjaringkan gol pada aksi debut dan mengekalkan prestasi tersebut sehingga dipanggil menyertai Perancis ke Piala Dunia kali ini.

Selepas mendapat panggilan ke Piala Dunia, Camavinga pernah menyuarakan hasratnya untuk membalas kepercayaan yang diberikan ketua jurulatih, Didier Deschamps dengan menampilkan aksi berkualiti.

PEDRI
Umur: 19 tahun
Negara: Sepanyol
Kelab: Barcelona
Posisi: Tengah

Sepanyol memiliki ramai pemain muda berbakat dalam skuad Piala Dunia kali ini, namun Pedri dianggap sebagai pemain yang memiliki potensi cukup besar untuk memahat namanya sebagai antara pemain muda terbaik dunia.

Pada usia 19 tahun, pemain Barcelona ini dikatakan memiliki gaya permainan cukup matang sehingga dia dilabel sebagai jelmaan legenda Sepanyol dan Barcelona, Andres Iniesta.

Meskipun usianya dianggap masih setahun jagung, namun Pedri sudah pun menempatkan diri dalam skuad utama Sepanyol dan Barcelona apabila melakukan 14 penampilan bersama skuad La Roja selain menjaringkan sembilan gol di peringkat kelab.

JUDE BELLINGHAM
Umur: 19 tahun
Negara: England
Kelab: Borussia Dortmund
Posisi: Tengah

Selepas berhijrah ke Dortmund dari Birmingham City pada 2020, Bellingham berjaya memahat namanya antara pemain yang menjadi nadi untuk menggerakkan bahagian tengah pasukan.

Walaupun di usia muda, namun pemain berusia 19 tahun itu menampilkan corak permainan seakan-akan sudah bermain dalam tempoh cukup lama kerana sangat tenang ketika mengawal bola dan melakukan hantaran.

Dia juga merupakan sebahagian daripada skuad naib juara Euro 2020 tetapi tidak diberikan banyak minit permainan, justeru saingan Piala Dunia di Qatar bakal menjadi pentas untuk dia mempamerkan kemampuan sebenar.

CHARLES DE KETELAERE
Umur: 21 tahun
Negara: Belgium
Kelab: AC Milan
Posisi: Tengah

Dapat menembusi ke dalam skuad yang dianggap sebagai generasi emas Belgium bukanlah perkara mudah, namun De Ketelaere dapat melakukannya dan sudah memiliki lapan kaps pada usia 21 tahun.

Menjaringkan 17 gol dalam semua pertandingan bersama Club Brugge musim lalu menyebabkan khidmatnya diburu banyak kelab pada jendela perpindahan musim panas dan dia mengambil keputusan menyertai AC Milan.

Walaupun masih belum menjaringkan sebarang gol buat skuad kendalian Stefano Pioli tetapi dia masih disenaraikan ke Piala Dunia 2022 kerana memiliki kreativiti serta visi cukup baik dari segi hantaran.

JAMAL MUSIALA
Umur: 19 tahun
Negara: Jerman
Kelab: Bayern Munich
Posisi: Sayap

Bekas pemain akademi Chelsea ini pernah menyarung jersi skuad England di dalam kejohanan remaja, namun selepas menyertai Bayern Munich, dia memilih untuk beraksi bersama skuad Die Mannschaft.

Dia juga melakar sejarah tersendiri apabila menjadi pemain Bayern paling muda beraksi dalam saingan Bundesliga pada usia 17 tahun 115 hari, namun ia langsung tidak menghaland Musiala daripada menunjukkan sengat.

Pemain berusia 19 tahun itu menampilkan aksi cukup memukau pada kempen 2022/23 apabila sudah menjaringkan 12 gol dalam semua pertandingan bersama Bayern sehingga memikat hati pengendali Jerman, Hansi Flick.

ANSU FATI
Umur: 20 tahun
Negara: Sepanyol
Kelab: Barcelona
Posisi: Penyerang

Pewaris jersi No.10 Lionel Messi di Barcelona ini pernah menggegarkan dunia bola sepak apabila menampilkan aksi menakjubkan selain memiliki penyudah berbisa ketika masih berusia 18 tahun.

Bagaimanapun, beberapa kecederaan yang dialami sebelum ini memaksa Fati untuk berehat panjang sebelum musim ini kembali berada dalam kesebelasan utama The Catalans dan berjaya menjaringkan tiga gol dalam 14 penampilan liga.

Menerusi taktikal yang bakal diterap ketua jurulatih, Luis Enrique, Fati dijangka memainkan peranan cukup penting dalam skuad La Roja pada saingan Piala Dunia kali ini.

WILLIAM SALIBA
Umur: 21 tahun
Negara: Perancis
Kelab: Arsenal
Posisi: Pertahanan

Saliba menyertai Arsenal pada 2019, namun gagal mendapatkan tempat dalam skuad utama sehingga menyebabkan dia menyertai pasukan Liga Perancis, Saint-Etienne, Nice dan Marseille secara pinjaman.

Sepanjang tiga musim beraksi dalam Liga Perancis secara pinjaman, Saliba berjaya menempatkan kedudukan sebagai antara pertahanan terbaik sehingga memikat hati pengurus Arsenal, Mikel Arteta.

Kepulangannya ke Stadium Emirates musim ini boleh dianggap sebagai ‘rahmat’ buat penyokong Arsenal apabila membantu pasukan itu menerajui takhta liga, sekali gus dipanggil menyertai skuad Les Bleus.

RAFAEL LEAO
Umur: 23 tahun
Negara: Portugal
Kelab: AC Milan
Posisi: Penyerang

Peningkatan mendadak yang ditunjukkan Leao dalam tempoh beberapa musim kebelakangan ini menyebabkan dia dianggap sebagai salah seorang penyerang prolifik dalam kancah bola sepak Eropah.

Dalam kempen 2022/23, dia meneruskan aksi cemerlang yang dipamerkan musim lalu apabila sudah menjaringkan enam gol bersama Milan dalam saingan Serie A, sekali gus disenaraikan ke Piala Dunia 2022.

Sekiranya dia mampu menampilkan aksi sama seperti di Milan ketika bersama Portugal, Leao mungkin akan menjadi salah seorang penyerang yang wajib dirantai oleh pemain-pemain pertahanan di Piala Dunia nanti.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI