fbpx

PRU15: Anwar yakin jadi PM, PH menang 112 kerusi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika menyampaikan amanat kepada penyokongnya di Ipoh hari ini. - Foto MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

IPOH – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin parti tersebut akan memperoleh majoriti mudah 112 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) esok.

Beliau berkata, kejayaan PH membentuk kerajaan tersebut akan disusuli dengan majlis angkat sumpahnya sebagai Perdana Menteri yang baharu.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak untuk keluar mengundi esok dan memberi mandat kepada PH untuk memerintah negara.

“Kita sudah ikhtiar, sudah kempen dan jelajah habis dah. Kita telah ikhtiar sehabis upaya.

“Mudah-mudahan esok malam diumumkan keputusan pilihan raya (Dewan Undangan Negeri) Hulu Kinta menang Arafat (Muhamad Arafat Varisai Mahamad), Manjoi menang Asmuni (Datuk Asmuni Awi) dan Tambun menang Anwar,” katanya ketika menyampaikan amanat sebelum tamat tempoh berkempen di Ipoh malam ini.

Pada masa sama, Anwar mengulangi pendiriannya untuk memotong gaji Perdana Menteri, serta mengurangkan jumlah barisan menteri Kabinet kepada separuh daripada bilangan ketika ini.

“Gaji (menteri) akan dikurangkan setengah. Nak jadi menteri, sila terima syarat saya. Kalau tidak, tak payah,” katanya.

Beliau turut menegaskan kehadirannya ke Parlimen Tambun pada pilihan raya kali ini adalah untuk mewujudkan budaya politik baharu di negara ini.

“Jadi kita nk tunjuk satu budaya baharu di Malaysia ini. Seorang pemimpin Melayu yang bangga dengan budayanya, yang kuat semangat Islamnya tetapi beri contoh yang berbeda kerana kuat kasihnya kepada rakyat termasuk yang Kristian , Hindu atau Buddha kerana rakyat itu di bawah tanggungjawab perdana menteri yang baharu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI