fbpx

Taman tema berkonsep Arab ikon baharu Kepala Batas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bertam Resort & Water Park di Kepala Batas, Pulau Pinang bakal beroperasi pada pertengahan bulan depan.

SEBERANG PERAI – Satu lagi mercu tanda baharu akan diwujudkan di Kepala Batas apabila sebuah taman tema air bernilai kira-kira RM90 juta bakal beroperasi di sini mulai pertengahan bulan depan.

Dikenali sebagai Bertam Resort & Water Park, projek yang tertangguh sejak lebih tiga tahun lalu akibat beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan termasuk Covid-19 itu dilaporkan siap hampir 98 peratus.

Dibahagikan kepada dua fasa iaitu pembinaan taman tema air dan hotel, Bertam Resort & Water Park dibangunkan di atas tanah seluas lebih lapan hektar milik The Maritime Water Front Suites Sdn. Bhd.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pembukaannya pada pertengahan Disember ini menjadikan taman tema tersebut sebagai yang terbesar pernah dibangunkan di utara Semenanjung setakat ini.

“Bertam Resort & Water Park ini secara umumnya berkonsepkan Arab (Asia Barat) dan mempunyai kira-kira 14 daya tarikan.

“Saya katakan ia (taman tema air) yang terbesar di utara kerana bukan sahaja akan menggamit kehadiran para pengunjung dari seluruh Pulau Pinang, malah pengunjung dari beberapa lokasi lain termasuk Kedah, Perak Utara, Perlis dan sebagainya juga akan berminat untuk ke sini,” katanya.

Reezal Merican (dua dari kanan) meninjau pembangunan projek Bertam Resort & Water Park di Kepala Batas hari ini. – Foto ISWAN SHAFIQ ISA

Beliau yang juga calon Barisan Nasional (BN) untuk kerusi Parlimen Kepala Batas ditemui pemberita selepas meninjau taman tema air berkenaan bersama pengurusan Bertam Resort & Water Park, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Reezal Merican memberitahu, hotel atau resort yang akan dibangunkan di bawah fasa kedua itu pula dijangka siap selewat-lewatnya Februari tahun depan.

Katanya, berciri penginapan bertaraf sehingga lima bintang, pembangunan hotel berkenaan juga merangkumi pembinaan sebuah pusat konvensyen yang mampu memuatkan sehingga 2,000 orang pada satu-satu masa.

“Untuk pengetahuan, Bertam Resort & Water Park juga dibina dengan pelbagai kemudahan yang mesra OKU (orang kurang upaya) seperti laluan khas termasuk di hotel.

“Kita juga akan bawa masuk beberapa teknologi atau elemen lain seperti pengurusan sisa pepejal yang lebih mesra alam dan sebagainya,” ujar beliau.

Tambahnya, kewujudan Bertam Resort & Water Park itu juga dijangka membuka sehingga 300 peluang pekerjaan terutamanya kepada penduduk setempat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI