WASHINGTON – Seorang anggota wanita Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) menjadi sensasi di internet kerana wajahnya dikatakan mirip pelakon popular Hollywood, Megan Fox, lapor akhbar Daily Star semalam.
Kerra Buerger memiliki lebih 268,000 pengikut di laman TikTok disebabkan persamaan tersebut.
Dia baru-baru ini tular kerana memaparkan kehidupan sebagai seorang anggota tentera udara sedangkan kerjaya itu didominasi oleh kaum lelaki.
Dalam sebuah klip yang video dimuat naik, Kerra memaparkan situasi dia ditengking oleh pegawai atasan di berek askar ketika waktu malam.
Video itu menunjukkan Kerra cuba bercakap sebelum percakapannya dihentikan seorang pegawai lelaki yang sedang menengking.
Ia kemudian menerima pelbagai komen netizen yang meluahkan penghormatan mereka kepada wanita seperti Kerra.
“Saya amat menghormati askar kita (AS) terutamanya wanita yang menyertainya. Mereka sama kental dengan lelaki,” kata seorang netizen.
Kerra kemudian memuat naik satu hantaran lain di laman Instagram Julai lalu, memaparkan dia sedang bersantai sambil minum di sebuah bar.
Hantaran tersebut kemudian menjadi perhatian netizen yang menyamakan wajah Kerra seperti Fox.
“Lebih cantik daripada Megan Fox, saya amat pasti,” kata seorang netizen. – Agensi