fbpx

Rasa pastri asli Perancis jadi taruhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FARID menunjukkan beberapa manisan yang ditawarkan di kafenya.

PERANCIS sememangnya terkenal sebagai salah sebuah negara yang menghasilkan seleksi pastri terbaik di dunia.

Sajian seperti macaron, kek opera dan croissant merupakan antara menu pastri dan manisan asli Perancis yang popular bukan sahaja di Eropah, malahan di seluruh dunia.

Bagi Mohd. Tawfik Tumeran atau lebih selesa dikenali sebagai Farid, 33, minat yang mendalam dalam seni penghasilan pastri telah mendorongnya membuka kafe sendiri di ibu kota.

Malah, Farid tidak menyangka kebolehan itu telah menyebabkannya beralih bidang daripada sains perubatan kepada pemilik kafe pastri.

“Pada asalnya, saya merupakan seorang penuntut jurusan sains perubatan di sebuah universiti di Sydney, Australia.

“Begitupun, siapa sangka rezeki saya akhirnya dalam bidang penghasilan pastri selepas kembali dari Sydney.

“Saya membuka kafe Marc et Farid di Telok Panglima Garang, Selangor pada 2019, sebelum berpindah ke lokasi baharu di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur pada Julai lalu,” ujarnya.

Dia yang juga pernah mengikuti kelas membuat pastri di Paris berkata, biarpun negara sudah mempunyai pelbagai kafe seumpama itu, keunikan Marc et Farid terletak pada kualiti pastrinya.

Katanya, semua sajian di situ mengikut resipi asli dari Perancis.

KEBANYAKAN pastri dan manisan di Marc et Farid tidak ditawarkan di kafe lain.

Bagi mengekalkan keenakan rasa, Farid hanya menggunakan bahan-bahan premium pada setiap menu yang dihasilkannya.

Hidangan seperti tart buah beri dan crepe dari tepung soba merupakan antara menu menarik di Marc et Farid, kerana ia tidak ditawarkan di kedai-kedai lain.

“Salah satu menu yang ada di situ adalah galette. Ia merupakan salah satu menu Perancis yang dibawakan khas ke negara ini.

“Menu ini sangat unik kerana ia dihasilkan menggunakan tepung soba bagi memberikan tekstur yang sedikit berbeza berbanding crepe-crepe lain.

“Menu ini merupakan makanan ruji dari sebuah lokasi di Perancis iaitu Brittany dan ia wajib dicuba,” ujarnya.

Tambah anak kelahiran Johor itu, menu paling popular di Marc et Farid adalah seleksi tart, sama ada tart buah-buahan dan tart kacang pecan.

“Mixed berry tart dan chocolate praline tart merupakan antara menu paling laris di sini. Selain itu, terdapat menu lemon tart dan Quebec pecan tart yang dihasilkan dengan menggunakan kacang pecan,” katanya lagi.

Harga bagi setiap menu pastri bermula dari RM7 sehingga RM30.

Kedai berkenaan dibuka setiap hari kecuali Isnin dari pukul 12 tengah hari hingga 6 petang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI