fbpx

Bawa masuk kereta klon sebelum tiga hari lupus di Singapura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lokman ( tiga kiri) menunjukkan kereta klon jenama BMW pada sidang akhbar tersebut.

SHAH ALAM – Sindiket klon kenderaan mewah dikatakan menunggu sehingga tiga hari sebelum kereta itu dilupuskan di Singapura untuk dibawa masuk ke negara ini.

Sindiket yang memiliki Certificate of Entitlement (COE) kemudiannya bertindak menyembunyikannya di Malaysia sebelum diklon dan dijual kepada pembeli yang mahu kelihatan bergaya.

Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Lokman Jamaan berkata, taktik itu dikesan menerusi Operasi Khas Kenderaan Klon dengan kenderaan yang dibawa masuk kebanyakan adalah jenama BMW, Lexus, Mercedes, Honda dan Toyota.

Katanya, rata-rata kenderaan pula akan tamat tempoh untuk dilupuskan antara tiga hingga tujuh hari.

“Platform media sosial seperti Facebook, Telegram, Wechat dan aplikasi jualan kenderaan secara dalam talian digunakan untuk memperdaya orang awam.

“Kereta tersebut dijual murah dari pasaran antara 3,000 sehingga 5,000 Singapura Dolar (SGD) bergantung kepada model dan tahun kenderaan kepada pembeli berusia 25 hingga 40,” katanya pada sidang media di JPJ Selangor, di sini, hari ini.

Menurut beliau, ramai terpedaya disebabkan harganya murah dan dijanjikan diberikan cukai jalan serta geran kereta yang asli sedangkan JPJ tidak mengeluarkannya.

Sehubungan itu, Lokman menegaskan usaha mengesan rangkaian sindiket sedang dijalankan namun
mengalami kesukaran kerana mereka menggunakan akaun media sosial palsu untuk menjalankan urusan jual beli kenderaan.

“Bagaimanapun, JPJ mempunyai sistem Road Charge Vehicle Entry Permit (RCVEP) yang digunakan di pintu masuk negara di Johor bagi mengesan kenderaan luar yang dibawa masuk ke negara ini.

“Sistem berkenaan akan menyimpan rekod kenderaan berada di negara ini untuk tempoh melebihi dua bulan. Sekiranya berada dalam tempoh lama disyaki dijadikan untuk kenderaan klon dan menjalankan operasi mengesannya,” katanya.

Jelas beliau, berdasarkan rekod didapati sebanyak 329 tangkapan kes kenderaan klon direkodkan sejak 2011 menerusi Operasi Khas Kenderaan Klon di Selangor.

Individu yang dikesan menggunakan kenderaan klon boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 7(1); Seksyen 108 (3); Seksyen 90 (2) dan Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Selain itu, JPJ Selangor turut melaksanakan Pelupusan Kenderaan Klon melalui lelongan awal pada tahun 2019 dengan menjual sebanyak 234 buah kenderaan. Manakala bagi tahun ini, sebanyak 46 kenderaan pelbagai jenis serta model.

“Ini sekaligus menyumbang kutipan hasill kerajaan sebanyak RM4.69 juta,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI