fbpx

Video pengakuan suspek serangan Imran Khan dipertikai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IMRAN bercakap dengan wakil media di sebuah hospital di Lahore kelmarin. -AFP

ISLAMABAD – Seorang pemimpin kanan parti pemerintah Pakistan menyeru siasatan dijalankan berhubung perkongsian video memaparkan pengakuan suspek insiden serangan ke atas bekas perdana menteri, Imran Khan, lapor akhbar Arab News semalam.

Imran, 70, ditembak pada kaki dan cedera dalam apa yang digelar sebagai cubaan jelas untuk membunuhnya ketika beliau menyampaikan ucapan dari atas kontena yang dipasang pada sebuah trak semasa kempen politiknya.

Beliau ketika itu mengetuai satu perarakan protes menuju ke ibu negara Pakistan, Islamabad, bagi mendesak kerajaan mengumumkan pilihan raya dengan kadar segera.

Dalam tempoh kurang sejam selepas serangan itu, polis mengeluarkan satu klip video memaparkan pengakuan suspek yang menyatakan bahawa dia bertindak bersendirian serta mahu membunuh Imran kerana ‘mengelirukan orang ramai’.

Pemimpin-pemimpin parti pembangkang yang menentang parti pimpinan Imran, Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) mempersoalkan pengakuan tersebut dan bertanya mengapa polis mengeluarkan video itu sebelum siasatan selesai.

“Di balai polis mana video itu dirakam? Apa keperluan untuk (mendedahkan) video itu? Ia perlu disiasat secara berasingan.

“Pengakuannya dikeluarkan setengah jam selepas serangan. Perkara seperti ini tidak berlaku di mana-mana di dunia.

“Lokasi kejadian seharusnya diambil alih (polis) dan saksi sepatutnya dilindungi,” kata jurucakap Parti Liga Muslim Pakistan (PML-N), Mohammad Zubair kepada Arab News dalam satu temu bual menerusi panggilan telefon.

Kenyataan Zubair dibuat ketika penyokong-penyokong Imran berkumpul kelmarin di lokasi serangan dan bandar-bandar di seluruh Pakistan. Mereka juga menyeru Imran agar menyambung semula perarakannya. – Agensi 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI