fbpx

Ustaz Kazim antara 16 individu tiada tauliah mengajar di P. Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ustaz Kazim dan Ustaz Ahmad Dusuki antara penceramah yang tidak memiliki tauliah mengajar daripada MAINPP.

GEORGE TOWN – Seramai 16 individu termasuk pendakwah bebas popular, Datuk Mohd. Kazim Elias tidak memiliki tauliah mengajar daripada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

Individu lain ialah Ahmad Dusuki Abdul Rani, Shaharudin Ibrahim, Datuk Ahmad Husam Baderudin, Wan Hizam Abdullah Sabil, Yusni Mat Piah, Shahrir Long, Sobri Arshad, Aiman Subri dan Afnan Hamimi Taib Azamudden.

Selain mereka, Profesor Madya Dr. Muhamad Rozaimi Ramle, Salman Ali, Maulana Fakhrurrazi, Mohd Rizal Azizan, Halim Hassan dan Dr. Abdullah Yassin turut tidak memiliki tauliah mengajar daripada MAINPP.

Sehubungan itu, Yang Dipertua MAINPP, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman berkata, pihak penganjur dilarang daripada menjemput 16 individu tersebut untuk menyampaikan ceramah kerana ketiadaan tauliah mengajar MAINPP.

“Pihak pentadbiran MAINPP telah menerima aduan daripada orang awam dan telah mendapati bahawa 16 individu ini tidak memiliki tauliah mengajar.

“Pihak penganjur dilarang daripada menjemput senarai 16 individu tersebut untuk menyampaikan ceramah, khutbah atau majlis-majlis ilmu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Ahmad Zakiyudin, mana-mana pihak yang gagal mematuhi perkara itu boleh dikenakan hukuman penjara atau denda mengikut undang-undang sedia ada.

“Implikasinya akan dikenakan kepada kedua-dua pihak iaitu terhadap penceramah dan penganjur di mana kedua-duanya akan dikenakan tindakan yang mana, penceramah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Ini kerana, mereka telah melanggar Seksyen 11 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Pulau Pinang (EKJSNPP) 1996 iaitu mengajar agama tanpa tauliah dan Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Pulau Pinang (EPAINPP) 2004 kerana mengajar agama Islam atau apa-apa aspek tentang Islam tanpa tauliah,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, bagi penganjur pula, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali kerana melanggar Seksyen 43(penyubahatan) yang dibaca bersama Seksyen 11 EKJSNPP 1996 iaitu bersubahat menganjurkan program melibatkan penceramah tanpa tauliah.

“Ia bertujuan memastikan penceramah yang selayaknya menyampaikan ilmu-ilmu yang bertujuan menyatu padukan dan tidak menimbulkan apa-apa kekeliruan dan perselisihan pandangan yang boleh menjejaskan keharmonian sesama jemaah masjid dan ahli kariah,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI