fbpx

Bekas Komando, nelayan dijel lima tahun seludup pati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zulkifli (kanan) dan Norizan dijatuhi hukuman penjara lima tahun selepas didapati bersalah menyeludup lima PATI, tiga tahun lalu.

MELAKA – Seorang bekas komando dan nelayan terpaksa meringkuk di dalam penjara selama lima tahun selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini atas pertuduhan menyeludup lima lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI), tiga tahun lalu.

Hakim Mohd. Radzi Abdul Halim menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Zulkifli Bakar, 61, dan Norizan Abu Seman, 51, yang mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati secara bersama-sama telah menyembunyikan lima PATI dari Indonesia untuk dihantar pulang ke negara asal mereka.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 12.30 malam di sebuah rumah bernombor di Jalan Tanjung Bidara, Masjid Tanah dalam daerah Alor Gajah pada 6 Ogos 2019.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda, atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, kedua-dua tertuduh ditahan bersama lima PATI di kediaman berkenaan di dalam Op Pintas yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah.

Kesemua pati berkenaan sedang menunggu bot untuk pulang ke negara asal melalui perairan Tanjung Bidara.

Terdahulu, Peguam Azrul Zulkifli Stork yang mewakili tertuduh merayu agar hukuman ringan dapat diberikan kepada anak guamnya dengan alasan kedua-duanya telah insaf selepas berada di dalam tahanan penjara selama tiga tahun bagi melaksanakan prosiding mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Nabilalif Mohd. Rosli bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan dengan mengambil kira kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius kerana telah mengganggu-gugat keselamatan negara.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dari tarikh ditangkap iaitu pada 6 Ogos 2019 bagi setiap tertuduh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI