fbpx

Mahkamah : 1MDB dibenar serah saman melalui penyampaian ganti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melaksanakan penyampaian ganti bagi menyerahkan writ saman AS$3.78 bilion kepada kakak ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low yang berada di Singapura.

Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz membenarkan perintah penyampaian ganti terhadap Low May Lin dibuat melalui pengiklanan dalam akhbar The Straits Times di republik berkenaan.

Beliau memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan 1MDB bagi mendapatkan perintah tersebut yang sebelum ini ditolak oleh Penolong Kanan Pendaftar Haslinda A. Raof pada 13 Oktober lalu.

Penyampaian ganti merupakan proses penyampaian dokumen dalam litigasi awam berbentuk surat, iklan atau sebarang kaedah lain yang membolehkan prosiding mendapat perhatian pihak defendan oleh kerana penyampaian dokumen secara peribadi tidak dapat dilakukan.

Peguam K. Siva Kumar yang mewakili 1MDB memberitahu wakil media, penyampaian writ saman secara peribadi di alamat terakhir May Lin di Singapura telah dilakukan sebanyak dua kali.

Ujar beliau, penghantaran surat temu janji kali kedua bagaimanapun gagal selepas pihaknya dimaklumkan wanita tersebut tidak lagi tinggal di alamat berkenaan.

“Oleh kerana penyampaian secara peribadi tidak praktikal maka kami memohon untuk penyampaian ganti selaras dengan Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012,” ujar Siva Kumar.

Menurut peguam tersebut, mahkamah menetapkan 28 Oktober ini untuk pengurusan kes bagi memaklumkan perkembangan penyerahan writ saman secara penyampaian ganti.

Dalam pada itu, Siva Kumar turut memberitahu, penyampaian writ saman kepada adik lelaki Jho Low, Taek Szen yang berada di Hong Kong telah diserahkan pada 30 Ogos lalu berdasarkan alamat terakhirnya.

Selain Taek Szen, writ saman juga telah diserahkan kepada Jho Low, bapa beliau Tan Sri Larry Low Hock Peng, ibunya Puan Sri Goh Gaik Ewe dan rakan sekutu Jho Low, Eric Tan Kim Loong. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI