fbpx

BN pertimbang tawar diskaun PTPTN kepada graduan ijazah kelas kedua atas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Barisan Nasional (BN) bakal pertimbang cadangan penawaran diskaun pembayaran semula Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada penerima ijazah kelas kedua atas.

Menurut Pengerusi Pemuda BN, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, cadangan inisiatif terbaharu itu telah dibincangkan bersama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad, pagi tadi.

“Kami juga membincangkan cadangan banyak pihak untuk meluaskan kadar diskaun pembayaran balik pinjaman bagi graduan yang berjaya mendapat ijazah kelas kedua atas.

“InsyaAllah akan dipertimbangkan dan jika dapat dilakukan boleh dimasukkan dalam manifesto BN juga,” katanya.

Beliau berkata, BN bersikap lebih bertanggungjawab dengan tidak mewujudkan manifesto tidak masuk akal seperti yang dilakukan pembangkang sebelum ini.

“Ada yang bertanya kenapa BN tidak ikut pendekatan PH dan PAS yang pernah menjanjikan pemansuhan bayaran balik PTPTN atau tunggu sehingga gaji melebihi RM4,000 baru mula bayar?

“Saya jawab, BN lebih bertanggungjawab untuk tidak menjanjikan bulan dan bintang tetapi akhirnya mendakwa ‘manifesto bukan kitab suci’. Bagi BN ‘tiada janji lihat bukti’,” katanya.

Sehingga kini, antara inisiatif terbaharu PTPTN untuk bantu rakyat antaranya ialah graduan ijazah kelas pertama tidak perlu bayar balik pinjaman PTPTN.

Selain itu, diskaun 20 peratus turut diberi kepada peminjam yang membayar penuh jumlah pinjaman manakala 15 peratus bagi yang membuat pembayaran balik pinjaman melalui potongan gaji atau debit terus daripada akaun bank mengikut jadual.

PTPTN turut menyediakan pinjaman sehingga RM3,000 bagi pembelian peranti, komputer atau komputer riba untuk pengajian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI