fbpx

Penghantar makanan McDonald’s dilindungi skim Perkeso

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azmir Jaafar (dua dari kiri) bertukar dokumen dengan Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed di Kuala Lumpur.

PETALING JAYA – McDonald’s Malaysia dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah memeterai memorandum persefahaman bagi memastikan semua penghantar makanan McDonald’s melalui perkhidmatan McDelivery dicarum dan dilindungi oleh Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Perkeso.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, usaha ini akan membolehkan penghantar makanan McDonald’s yang merupakan Orang Bekerja Sendiri (OBS) dan tergolong dalam kalangan 20 sektor informal di negara ini, mendapat perlindungan daripada bencana pekerjaan sendiri termasuk kemalangan dan penyakit pekerjaan sendiri.

“Melalui kerjasama tersebut, McDonald’s bakal menjadi syarikat makanan dan minuman (F&B) pertama di negara ini yang menjalin kerjasama dengan Perkeso  menerusi caruman SKSPS untuk melindungi para penghantar makanannya,” kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Azmir menjelaskan, kerjasama dua hala itu  juga akan kerajaan menerusi inisiatif SPS Padanan Caruman di bawah Bajet 2022. 

Bantuan ini melibatkan pembiayaan oleh Kerajaan sebanyak RM186.20 (80 peratus) daripada jumlah keseluruhan Pelan Caruman Kedua SKSPS sebanyak RM232.80, manakala OBS hanya perlu membayar baki RM46.60 (20 peratus) sahaja untuk tempoh perlindungan selama setahun.

Namun begitu, sebagai sebuah syarikat yang prihatin, McDonald’s Malaysia mengambil keputusan menaja caruman tahun pertama berjumlah RM250,000 bagi memastikan kesemua 5,000 penghantar makanannya dilindungi di bawah SKSPS.

“Walaupun mereka bekerja sendiri mengikut kesesuaian masa dan keperluan masing-masing, mereka adalah barisan hadapan yang memastikan keberkesanan perkhidmatan McDelivery kami, yang kini merupakan antara salah satu segmen perniagaan yang menjana jumlah jualan tertinggi untuk syarikat.

“Segala manfaat dan insentif termasuklah tajaan melalui SKSPS ini merupakan tanda penghargaan syarikat terhadap kerja keras mereka bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menikmati hidangan McDonald’s kegemaran,” jelas beliau.

SKSPS membolehkan OBS seperti penghantar makanan McDonald’s menikmati sebanyak lapan faedah Perkeso seperti faedah perubatan, faedah hilang upaya sementara, faedah hilang upaya kekal, faedah orang tanggungan, faedah pengurusan mayat, kemudahan pemulihan jasmani atau vokasional dan faedah pendidikan. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI