fbpx

Asyraf Wajdi tawar diri bertanding Parlimen Pasir Puteh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Asyraf Wajdi (tengah) semasa menghadiri Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Puteh Kali ke-26 di Dewan UMNO Uthmaniyiah Pulau Lima, Pasir Puteh hari ini. - FOTO/ TOREK SULONG

PASIR PUTEH – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Asyraf Wajdi Dusuki menawarkan diri untuk sekali lagi bertanding sebagai calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Pasir Puteh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, bagaimanapun, segala keputusan terserah kepada pucuk pimpinan parti dan beliau bersedia untuk menentang calon penyandang Parlimen Pasir Puteh daripada Pas.

Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh berkata, jentera pilihan raya di peringkat bahagian dan Pusat Daerah Mengundi telah digerakkan dalam usaha memikat pengundi muda berpihak kepada BN di Parlimen tersebut.

“Saya menawarkan diri untuk bertanding di Parlimen Pasir Puteh bersama tokoh pemuda di beberapa kawasan lain di seluruh negara, namun segala keputusan terserah kepada pucuk pimpinan parti.

“Kita akur kepada arahan parti. Terserah sama ada saya terpilih atau sebaliknya kerana yang lebih utama adalah memastikan UMNO kembali mentadbir negara. Gerak kerja dan penawaran khidmat kepada rakyat lebih menjadi keutamaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Puteh Kali ke-26 di Dewan UMNO Uthmaniyiah Pulau Lima di sini hari ini.

Terdahulu, kerusi Parlimen Pasir Puteh disandang oleh Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh daripada Pas selepas menewaskan Asyraf Wajdi pada PRU14 dengan majoriti 1,360 undi.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, UMNO Bahagian Pasir Puteh nekad dan siap sedia untuk menawan kerusi Parlimen Pasir Puteh pada PRU15 bagi memastikan Kerajaan Persekutuan kembali diterajui UMNO dan BN.

Menurutnya, perubahan perlu dilakukan termasuk menentang Perikatan Nasional (PN) yang sudah tidak mencapai kata sepakat dan persefahaman untuk gandingan kerjasama dengan Pas seperti yang termeterai dalam Muafakat Nasional (MN).

“Kenyataan dan keputusan pucuk pimpinan Pas sudah menggambarkan pendirian muktamad mereka untuk bersama dengan PN bukan bersama BN atau UMNO.

“Kita terima keputusan itu dan yakin kemungkinan ada kelebihan untuk bergerak dengan parti komponen dalam BN. Terserah kepada rakyat untuk menilai kembali kejayaan dan kecemerlangan yang pernah dilaksanakan sebelum ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI