fbpx

Pura-pura mahu beli serai sebelum ragut rantai warga emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KULIM – Polis memburu dua lelaki yang bertindak meragut rantai leher dipakai seorang wanita warga emas dalam kejadian di Kampung Sedim, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, mangsa berusia 70 tahun dihampiri dua individu tidak dikenali menaiki sebuah motosikal bersama seorang kanak-kanak lelaki.

Dua lelaki terbabit dikatakan berpura-pura mahu membeli serai yang ditanam mangsa sebelum salah seorang suspek merentap rantai leher wanita itu sebelum meloloskan diri.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd. Redzuan Salleh berkata, kejadian berlaku ketika mangsa sedang menyapu sampah di halaman rumahnya.

“Dua lelaki bersama seorang kanak-kanak lelaki tidak dikenali yang menaiki motosikal jenis Yamaha LC menghampiri mangsa.

“Salah seorang daripada suspek kemudian bertanyakan mengenai pokok serai yang ditanam mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, suspek seterusnya berpura-pura hendak membeli serai tersebut.

“Semasa hendak menghulurkan wang kepada warga emas itu, suspek terus meragut rantai leher emas yang dipakai mangsa dan terus melarikan diri,” ujarnya.

Katanya, semasa kejadian, hanya terdapat mangsa bersama cucunya sahaja yang berusia empat tahun di halaman rumah itu.

“Tiada saksi atau jiran yang melihat kejadian tersebut dengan mangsa mengalami kesan merah di bahagian leher akibat rantai direntap oleh suspek.

“Mangsa mengalami kerugian kira-kira RM5,000,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan siasatan masih diteruskan bagi mengesan suspek terlibat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI