fbpx

KUIS dinaik taraf universiti penuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Selangor berkenan terima mengadap Abdul Razak bagi mempersembahkan watikah rasmi naik taraf Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor sebagai Universiti Islam Antarabangsa Selangor di Istana Bukit Kayangan Shah Alam, semalam.

PETALING JAYA – Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) yang dinaik taraf menjadi sebuah universiti penuh semalam, kini dikenali sebagai Universiti Islam Antarabangsa Selangor (UIS).

Watikah rasmi naik taraf itu disampaikan Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Seri Abdul Razak Jaafar kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan Shah Alam, semalam.

Universiti itu dalam kenyataannya hari ini berkata, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor juga Pengerusi Lembaga Pengarah KUIS Datuk Haris Kasim turut memaklumkan, perkara itu telah mendapat kelulusan daripada KPT.

“Tahniah dan syabas kepada KUIS atas perkhabaran baik ini.

“Saya berharap KUIS sebagai Universiti Islam Antarabangsa Selangor akan terus menjadi universiti terbaik sejajar dengan hasrat Sultan Selangor yang mahukan universiti kita berada pada ranking terbaik,” katanya di sini hari ini.

Tambah kenyataan itu katanya, pengiktirafan ini akan membawa UIS sebagai sebuah universiti yang gemilang.

“Pengiktirafan ini dapat membantu UIS dalam melahirkan dai, ulama dan umarak bertekad ke arah mencapai kecemerlangan pengurusan, akademik dan sahsiah pelajar melalui penggunaan teknologi terkini dan perkhidmatan berkualiti berteraskan Al-Quran dan Al-Sunnah.

“UIS juga akan terus membentuk dan mendidik generasi ummah agar menjadi insan soleh melalui dasar pendidikan yang berteraskan ilmu naqli (revealed knowledge) dan ilmu aqli (acquired knowledge) yang berpaksikan tauhid untuk melahirkan generasi profesional yang seimbang bagi menghadapi cabaran zaman,” ujarnya.

UIS merupakan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Islam milik penuh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang ditubuhkan di bawah akta IPTS 1996.

Penubuhannya secara rasmi pada 15 Februari 1995 membuktikan komitmen kerajaan negeri Selangor dalam membangunkan agenda pendidikan dan kecemerlangan ilmu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI