fbpx

PTPTN komited bantu pelajar ke IPTA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengerusi PTPTN, Dr. Apli Yusoff (kanan) bersama Pengurus Besar Negeri, Pejabat PTPTN Terengganu, Azizah Nasik@Abd Rashid (kiri) menyerahkan surat tawaran WPP kepada pelajar di Kuala Nerus, Terengganu.

PETALING JAYA – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperuntukkan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) sebanyak RM42.4 juta kepada 28,278 pelajar untuk melanjutkan pelajaran mereka.

PTPTN berkata, RM1,500 akan diberi kepada setiap pelajar warganegara Malaysia yang akan melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi kemasukan sesi Oktober 2022 serta bersetuju menerima WPP melalui saluran yang ditetapkan oleh PTPTN.

Selain itu, ibu bapa atau penjaga pelajar juga adalah penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) selain memenuhi kriteria yang ditetapkan.

“WPP yang telah diperkenalkan pada tahun 1999 itu telah memberi manfaat kepada seramai 954,465 pelajar dengan peruntukan berjumlah RM1.41 bilion sehingga 31 Ogos lalu.

“Tempoh sah laku WPP ini adalah selama dua bulan bermula 5 Oktober lalu hingga 5 Disember 2022 dan boleh membuat semakan tawaran WPP mulai 5 Oktober lalu melalui portal rasmi PTPTN.

PTPTN membantu pelajar membuat persediaan awal ke IPTA menerusi WPP berjumlah RM1,500 setiap seorang.

“Para pelajar boleh menunaikan WPP di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad mulai 5 Oktober 2022 dengan membawa surat tawaran WPP dan MyKad pelajar (wakil adalah tidak dibenarkan),” katanya.

Sementara itu, pada 2 Oktober lalu, Pengerusi PTPTN, Dr. Apli Yusoff turut menyantuni pelajar yang ditawarkan WPP melalui sesi ziarah ke rumah pelajar di kawasan Kuala Nerus, Terengganu.

Semasa sesi ziarah, beliau telah menyampaikan surat tawaran WPP kepada pelajar yang layak.

Menurut Dr. Apli, inisiatif pemberian WPP PTPTN itu adalah untuk membantu menampung sebahagian perbelanjaan bagi persiapan awal pelajar baharu memasuki IPTA.

“Di Terengganu, seramai 1,825 pelajar ditawarkan WPP dengan peruntukan berjumlah RM2.7 juta. Manakala, bagi kawasan Kuala Nerus pula, seramai 239 pelajar telah ditawarkan WPP melibatkan peruntukan berjumlah RM358,500.

“PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi atau KPT sentiasa berusaha membantu ibu bapa dan pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian dalam usaha memastikan tiada pelajar yang tercicir ke IPTA,” katanya.

Para pelajar yang telah membuat permohonan pinjaman PTPTN bagi tempoh 1 September lalu hingga 30 September 2022 pula katanya, semakan boleh dibuat sejak 11 Oktober lalu.

“Manakala pelajar yang belum mengemukakan permohonan, boleh melakukannya secara dalam talian melalui portal rasmi PTPTN sehingga 31 Oktober 2022 bagi kelompok kedua untuk memastikan pinjaman dapat diproses dan diluluskan sewajarnya.

Sebarang pertanyaan boleh rujuk kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar IPT masing-masing atau menghubungi PTPTN. Maklumat lanjut boleh diperolehi melalui portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI