fbpx

Keluarga sudah beli pakaian baharu untuk ‘Tambi’ sambut Deepavali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Upacara pengkebumian kanak-kanak lelaki yang maut terjatuh daripada kerusi bayi di Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Ahli keluarga kepada kanak-kanak lelaki yang maut akibat terjatuh daripada kerusi bayi ketika sedang menjamu selera bersama ibu bapanya di sebuah restoran di Taman Sutera di sini Selasa lalu enggan menyalahkan mana-mana pihak.

Bapa kanak-kanak yang berusia 2 tahun itu juga memberitahu, sambutan perayaan Deepavali yang bakal tiba tidak lama lagi pasti akan menjadi satu memori yang sedih buat semua ahli keluarga.

Menurutnya, ahli keluarga juga sudah membelikan pakaian baharu untuk kanak-kanak itu sebagai persiapan menyambut perayaan tersebut.

“Tambi (nama panggilan kanak-kanak itu) masih kecil sehingga kami masih lagi menganggapnya sebagai seorang bayi.

“Apa yang berlaku adalah sangat tragis, namun saya rasa ahli keluarga tidak menyalahkan sesiapa atas insiden yang berlaku kerana tiada siapa menjangka perkara sebegitu akan berlaku,” katanya ketika berucap pada upacara pengkebumian kanak-kanak berkenaan, yang diadakan di Taman Universiti, Skudai, di sini semalam.

Terdahulu, seorang ahli keluarga terdekat yang enggan dikenali memberitahu, mangsa merupakan seorang kanak-kanak yang aktif dan ceria.

“Mangsa merupakan anak tunggal dan dia merupakan seorang kanak-kanak yang aktif dan ceria. Ketika kejadian mereka sekeluarga sedang makan di restoran.

“Kami sekeluarga berasa sedih dengan kejadian yang tidak dijangka ini,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita malah, difahamkan kanak-kanak tersebut juga amat meminati coklat.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Fariz Ammar Abdullah dilaporkan berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 3 petang, Selasa lalu.

Menurut beliau, ketika sedang makan, kanak-kanak itu yang sedang duduk di kerusi bayi bertindak menolak meja menggunakan kakinya sehingga menyebabkan dia terjatuh ke belakang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI