fbpx

Arab Saudi memenangi bidaan penganjuran AWG 2029

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TROJENA yang masih dalam pembinaan akan menjadi lokasi utama saingan AWG 2029 selepas Arab Saudi secara rasmi sah memenangi bidaan penganjuran. – AGENSI

RIYADH – Arab Saudi melakar sejarah apabila berjaya memenangi bidaan untuk menjadi tuan rumah bagi temasya Sukan Musim Sejuk Asia (AWG) ke-10 yang akan diadakan pada 2029.

Permohonan itu yang dikemukakan Jawatankuasa Olimpik dan Paralimpik Arab Saudi (SOPC) diluluskan oleh Majlis Olimpik Asia kelmarin.

Arab Saudi bakal menjadi negara pertama di Asia Barat yang menganjurkan acara itu sejak pelancarannya pada 1986, sele­pas Jepun, China, Korea Selatan dan Kazakhstan.

Penganjuran temasya AWG itu bakal diadakan di pusat pe­ranginan resort ski yang pertama di negara itu dikenali sebagai TROJENA yang menjadi sebahagian dari­pada bandar futuristik NEOM.

NEOM merupakan projek pembinaan mega bernilai AS$500 bilion (RM2.24 trilion) yang meliputi 25,900 kilometer persegi wilayah Arab Saudi, berhampiran sempadannya dengan Jordan dan Mesir.

Pembangunan TROJENA dijangka siap pada 2026 tersebut bakal dilengkapi beberapa kemudahan antaranya perkampungan ski, tasik air tawar buatan manusia, pusat peranginan mewah dan rizab alam semula jadi.

Presiden SOPC, Putera Abdulaziz bin Turki Al-Faisal berkata, sokongan kerajaan dalam sektor sukan berjaya menarik penganjuran AWG ke Arab Saudi.

“Dengan sokongan padu kepimpinan Saudi dan Putera Mahkota kepada sektor sukan, dengan bangganya meng­umumkan bahawa kami telah memenangi bidaan untuk menjadi tuan rumah AWG TROJENA 2029 dan menjadi negara pertama di Asia Barat menganjurkannya.

“Kami sangat teruja untuk mengalu-alukan semua peminat Sukan Musim Sejuk pada 2029, bagi bersama meraikan pe­ngalaman yang tiada tandingan di TROJENA,” kata Putera Abdul­aziz.

Resort ski itu dijangka mampu menarik kira-kira 7,000 pengunjung menjelang 2030.

NEOM yang diterajui Putera Mohammed bin Salman adalah projek di bawah rancangan pembangunan Wawasan 2030 untuk mengurangkan kebergantungan kepada industri minyak. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI