fbpx
Ariffin Deraman

Pencemar sisa kumbahan di Pulau Perhentian akan dikompaun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu memberi jaminan tindakan tegas bakal diambil terhadap pihak bertanggungjawab melakukan pencemaran sisa kumbahan di Pulau Perhentian, Besut pada awal bulan lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, pihak bertanggungjawab tidak akan terlepas kerana pencemaran yang menyebabkan keracunan makan kalangan pelancong itu kali kedua berlaku dalam tempoh tiga bulan.

“Sebelum ini, kita telah mengambil tindakan kompaun terhadap pengusaha sebuah resort di Pulau Perhentian yang terbukti bersalah tidak menguruskan sisa kumbahan secara sistematik.

“Bagi kes terbaharu ini, siasatan terperinci sedang dilakukan oleh agensi bertanggungjawab sebelum laporan penuh akan dibentangkan dalam tempoh sebulan,” katanya di sini hari ini.

Kosmo! 2 Oktober lalu melaporkan ketiadaan loji sistem rawatan kumbahan berpusat (STP) dipercayai punca peningkatan risiko penyakit berkaitan pencemaran air khususnya keracunan makanan di Pulau Perhentian, Besut sejak akhir-akhir ini.

Terdahulu, tular di media sosial, ramai pelancong meluahkan ketidakpuashatian selepas mengalami keracunan makanan dan cirit-birit sejurus pulang dari Pulau Perhentian terutama pada musim cuti persekolahan bulan Jun dan awal bulan lalu.

Kerajaan negeri Terengganu dengan kelulusan Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) kemudiannya segera meluluskan pembinaan STP bagi kegunaan penduduk dan pemain industri pelancongan Pulau Perhentian. – KOSMO! ONLINE

POPULAR