fbpx
ZAHASNAH MOHD.ZAIN menangis kegembiraan sebaik dimaklumkan mengenai anaknya, Azi yang kini berada di Kuala Lumpur sebaik diselamatkan polis daripada penculik di Thailand ketika ditemui di rumahnya di Kampung Semat Jal, Tumpat semalam.

Azi bebas tanpa wang tebusan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Operasi berte­rusan yang dilakukan secara senyap antara polis Malaysia dan Thailand berjaya menyelamatkan seorang ejen jualan barangan kosmetik dikenali sebagai Azi selepas dikurung penculik lebih 14 hari di Thailand sejak 13 September lalu.

Lebih menggembirakan apabila wanita berusia 36 tahun itu yang kini berada di satu lokasi di Kuala Lumpur diselamatkan tanpa membabitkan sebarang pembayaran wang tebusan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, mangsa diselamatkan melalui kerjasama erat polis kedua-dua negara.

Muhamad Zaki

“Polis kini menumpukan untuk melakukan operasi menangkap suspek-suspek lain yang terlibat dalam kes tersebut meskipun mangsa berjaya dise­lamatkan.

“Sindiket dadah yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut akan disiasat secara berterusan,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani memberitahu, mangsa diselamatkan dan dibawa pulang ke Malaysia. Seramai tujuh lelaki diberkas di sekitar Kelantan, Se­langor dan Kuala Lumpur.

Berita berkaitan: Suami berselisih faham ahli sindiket dadah punca ejen kosmetik diculik

Sebelum ini Kosmo! melaporkan Azi telah dibawa lari dari rumahnya di Kampung Semat Jal, Tumpat ke Thailand.

Siasatan polis mendapati perselisihan faham antara sua­mi mangsa dengan sindiket dadah menjadi punca Azi dilarikan sekumpulan lelaki.

Sementara itu, di Tumpat, seluruh ahli keluarga mangsa tidak sabar untuk menunggu kepulangan wanita tersebut sebaik dimaklumkan mengenai perkembangan terbaharu itu oleh polis.

Kakak Azi yang enggan dikenali bagaimanapun berkata, setakat ini mereka masih belum dapat berhubung atau berjumpa dengan mangsa.

Berita berkaitan: Apa dosa anak saya sampai diculik

“Polis masih belum memaklumkan apa-apa lagi mengenai keadaannya. Besar harapan kami agar Azi dibawa pulang segera ke rumah ini. Kami rindu nak peluk Azi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Semat Jal di sini.

Ejen jualan kosmetik dikenali sebagai Azi yang dilarikan sekumpulan lelaki bersenjata di rumahnya di Kampung Semat Jal, Tumpat.

Menurut wanita itu, ibu mereka, Zahasnah Mohd. Zain, 61, kelihatan tenang sebaik dimaklumkan mengenai perkemba­ngan terbaharu tersebut sambil bersyu­kur apabila nalurinya mengatakan Azi masih selamat adalah betul meskipun telah hilang dalam tempoh lama.

“Ramai menyangka Azi sudah ada di rumah dan menuduh kami menyembunyikannya. Setakat ini dia masih belum pulang dan hanya polis yang mengetahui lokasi sebenar dia berada selepas diselamatkan,” katanya.

Berita berkaitan: Ejen kosmetik dilarikan sekumpulan lelaki di Tumpat

Ujar wanita itu, dia sekeluarga menanti perkembangan lanjut mengenai kes tersebut dan tidak menolak kemungkinan akan pergi ke Kuala Lumpur jika diminta oleh pihak berkuasa untuk berbuat demikian.

“Kami bercadang untuk me­ngadakan kenduri kesyukuran sekiranya Azi pulang ke rumah selepas ini.

“Ibu juga sudah membuat solat sunat sebaik mengetahui Azi selamat. Kami kini hanya me­nunggu kepulangan Azi ke rumah sahaja,” katanya.

POPULAR