fbpx
Muhammad Khairul (kanan) menerima anugerah bagi pihak arwah adiknya daripada Syed Hussian (tengah) pada majlis konvokesyen PSA hari ini.

Abang sebak, bangga terima anugerah Adiwira arwah adik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Perasaan seorang abang bercampur sebak dan bangga apabila menerima anugerah Adiwira bagi pihak arwah adiknya dalam Konvokesyen Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) kali ke-23, hari ini.

Muhammad Khairul Anam Abdul Jalil, 24, menerima sijil serta trofi bagi Allahyarham Hairul Zaman, 22, merupakan pelajar Diploma Kejuruteraan Mekanikal yang maut apabila cuba menyelamatkan rakannya yang lemas dalam kejadian di Bentong, Pahang pada 26 Mac lalu.

Penyampaian itu disempurnakan Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Seri Dr. Syed Hussian Aljunid.

Anugerah Adiwira pertama kali diperkenalkan pada majlis Konvokesyen PSA bagi menghargai keberanian dan pengorbanan mahasiswa.

Muhammad Khairul berkata, dia bersyukur atas penganugerahan yang diberikan sebagai menghargai pengorbanan arwah.

“Dia seorang adik yang baik dan pendiam. Dekat rumah tak banyak cakap.

“Namun, rakan-rakan arwah memaklumkan Hairul mempunyai sifat kepimpinan yang tinggi terutamanya sejak masuk PSA,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, ibu arwah, Sulaiha Suyut, menjelaskan Hairul Zaman merupakan anak yang baik dan tidak pernah menimbulkan masalah.

“Dia juga seorang pelajar yang cemerlang. Sejak sekolah rendah sering terima macam-macam anugerah,” ujarnya.

Dalam pada itu, konvokesyen selama dua hari bermula hari ini akan melibatkan seramai 1,684 graduan yang akan menerima ijazah sarjana muda, diploma dan sijil masing-masing. – KOSMO! ONLINE

POPULAR