fbpx

Isu galah ‘hilang’, pengajaran buat atlet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SARAH Adi berada pada landasan tepat untuk memburu kejayaan pada Sukan SEA Kemboja 2023 bulan depan.
MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH, WARTAWAN EKSEKUTIF

EPISOD malang dilalui ratu lompat bergalah Asia Tenggara, Nor Sarah Adi pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2022 yang ber­akhir pada Ahad lalu seharusnya menjadi iktibar buat semua atlet.

Atlet berusia 22 tahun itu berdepan situasi panik apabila galahnya ‘hilang’ ketika turun pada aksi final Sukma 2022 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 18 September lalu.

Nor Sarah terpaksa meminjam galah atlet lain yang menyebabkannya menamatkan aksi final tanpa sebarang catatan selepas gagal melepasi catatan 2.90 meter (m).

Jika galah tidak ‘lesap’, pingat emas hampir pasti dalam genggamannya kerana dia tidak pernah gagal mengatasi had ketinggian itu, malah rekod peribadinya adalah 4.00m.

Nor Sarah juga sudah lima kali menaiki podium tahun ini bermula Terbuka Malaysia, Sukan SEA, Sukan Universiti ASEAN, Sukan Perpaduan Islam dan Kejohanan Lompat Bergalah Antarabangsa bulan lalu.

Difahamkan, pemenang pi­ngat emas Sukan SEA Hanoi 2021 itu telah menyimpan galahnya di dalam stor Majlis Sukan Negara (MSN) beberapa hari sebelum acara bermula.

Semasa hari pertandingan, Nor Sarah mendapati galah dalam begnya adalah bukan miliknya sekali gus menyebabkan dia hilang keyakinan untuk bertanding.

Enggan menganggap ia unsur sabotaj dan memperbesarkan isu tersebut, atlet dari Maran, Pahang itu menganggap ia adalah ujian untuk dia lebih bersedia apabila turun di pentas antarabangsa selepas ini.

“Ada orang guna galah saya dan meletakkan semula galah yang salah. Apabila kita menang, menang, menang…Tuhan bagi saya jatuh sekejap.

“Saya terima ujian ini. Saya perlu fikir bagaimana untuk bangkit semula selepas jatuh untuk naikkan lagi nama Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya.

Mujur ia berlaku di pertan­dingan domestik, bukannya pe­ringkat antarabangsa antaranya Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel ataupun pentas lebih tinggi seperti Sukan Olimpik mahupun Kejohanan Dunia.

Legenda olahraga negara, Roslinda Samsu bersimpati de­ngan nasib Nor Sarah dan percaya ia adalah pengajaran terbaik dalam perjalanan karier bekas anak didiknya itu.

Pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 4.40m dilakukannya di Sepanyol pada 2006, mendedahkan tidak pernah meminjam galah atlet lain kerana kos yang tinggi dianggarkan minimum RM4,000 perlu diganti sekiranya patah.

“Tak pernah lagi galah saya hilang tetapi pernah tak sampai sewaktu hari pertandingan. Terpaksa tarik diri sebab memang lompat guna galah sendiri, atlet lain biasanya tak bagi pinjam.

“Bukan tak pernah minta atlet lain nak pinjam tetapi mereka tak bagi. Ada banyak risiko, pertamanya kalau patah, kita kena ganti dan keduanya dia pun tak boleh lompat.

“Galah sangat peribadi, ibarat teman hidup bagi atlet lompat bergalah. Atlet hilang mood kalau tengok ‘baju’ lain sikit. Peristiwa ini memang pengajaran berguna untuk karier Sarah,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI