fbpx

Cuepacs bantah tubuh agensi tunggal jaga pintu masuk negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adnan.

PETALING JAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs) membantah sepenuhnya pelaksanaan dan penubuhan Single Border Agency (SBA) yang akan mengambil alih keseluruhan peranan dan tugas agensi kerajaan yang berada di pintu masuk negara termasuk di pelabuhan dan lapangan terbang.

Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat berkata, pihaknya berpandangan agensi sedia ada yang mengawal pintu masuk negara telah melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing dengan baik serta berkesan.

Jelasnya, keputusan itu dicapai melalui Persidangan Perwakilan Tri Tahunan Kesatuan Pegawai Kastam Semenanjung Malaysia yang berlangsung di Hotel Mudzaffar, Ayer Keroh, Melaka hari ini.

“Mengambil contoh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), jabatan ini bukan sahaja mengawal pintu masuk negara daripada aspek keselamatan tetapi juga bertanggungjawab memungut pelbagai cukai yang menyumbang kepada hasil negara.

“Sejak beberapa tahun dahulu, pencapaian hasil kutipan JKDM sentiasa melebihi sasaran yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, itu bermakna JKDM telah melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya dengan cemerlang.

“Kenapa perlu tugas ini diberikan kepada agensi baharu yang masih belum diketahui keberkesanannya?. Ia seumpama kerajaan mahu memperjudikan hasil kutipan hasil negara untuk tahun mendatang jika tertubuhnya SBA kelak.

“Cuepacs yakin agensi lain yang bersama-sama menjaga pintu masuk negara turut melaksanakan tugas dan peranan masing-masing dengan berkesan seperti mana yang dilakukan JKDM,” ujarnya.

Selain itu Adnan berkata, sistem kawalan pintu masuk pelbagai peringkat agensi seperti yang dikuatkuasakan sekarang adalah lebih baik dari dikawal hanya satu agensi sahaja.

“Contohnya jika barangan yang diimport adalah ubat-ubatan Jabatan Kastam tidak boleh melepaskan dagangan tersebut sebelum diberi kelulusan oleh pihak Farmasi. Begitu juga dengan barang dagangan yang memerlukan kelulusan agensi-agensi lain yang terlibat seperti MAQIS, Sirim dan sebagainya.

“Jika terdapat kekurangan dalam pengoperasian pintu sempadan negara ketika ini, kerajaan boleh menambah baik pengoperasian tersebut dan bukannya bertindak menggantikan dengan agensi baru,” tambahnya.

Tambah kenyataan itu, Adnan turut mencadangkan agar diwujudkan koordinasi yang lebih baik antara agensi kerajaan di pintu masuk negara.

“Kerajaan sewajarnya melakukan rundingan dan sesi libat urus bersama wakil-wakil dan kesatuan pekerja dalam apa jua keputusan yang membabitkan pemerkasaan perkhidmatan awam.

“Rundingan dan sesi libat urus ini mampu memberi keputusan yang menang-menang antara pihak majikan dan pekerja sekali gus mampu memperkasakan perkhidmatan kerajaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI