fbpx

Tiada kes menjurus kepada cubaan culik di Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KOTA BHARU – Dakwaan kes cubaan membawa lari atau menculik kanak-kanak di pekarangan beberapa buah sekolah di negeri ini yang tular di media sosial sejak kebelakangan ini didapati tidak berasas.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, dakwaan yang mengaitkan indvidu mencurigakan berada di pekarangan sekolah atau tempat tempat tertentu telah disiasat oleh pihak polis.

Menurutnya, bagaimanapun, kesemua dakwaan berkenaan tidak menjurus kepada situasi cubaan membawa lari atau menculik kanak-kanak.

“Kita telah menjalankan siasatan terhadap dakwaan cubaan menculik murid sekolah rendah di daerah Gua Musang, Kuala Krai dan Pasir Puteh.

“Siasatan mendapati, individu yang dikatakan berada di kawasan sekolah berkenaan tidak mempunyai niat untuk menculik sebaliknya mempunyai urusan lain.

“Bagi dakwaan kes culik di Kuala Krai pula, individu yang disyaki cuba melarikan kanak-kanak rupa-rupanya kakitangan sebuah syarikat perkhidmatan penapis air yang mempunyai urusan kutipan bulanan daripada pelanggan di situ,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, menurut Muhamad Zaki, sehubungan itu, polis memohon kerjasama rakyat Kelantan khususnya warga maya supaya menghentikan perbuatan menyebar dakwaan kes culik sehingga menimbulkan ketakutan dalam masyarakat.

Katanya, orang ramai disarankan supaya merujuk sesuatu kejadian dan dakwaan melalui sumber sahih termasuk daripada pihak polis supaya tidak berlaku kekeliruan.

Tambahnya, individu yang terlibat menyebarkan berita tidak sahih boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kegusaran awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI