fbpx

Sarang burung bernilai RM250,000 dirampas di KLIA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
15 buah kotak gabus mengandungi sarang burung bernilai RM250,000 berjaya dirampas Maqis di KLIA Khamis lalu. - Foto IHSAN MAQIS SELANGOR

PUTRAJAYA – Sebanyak 15 buah kotak gabus mengandungi sarang burung telah diproses seberat 150 kilogram yang cuba dibawa keluar melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang berjaya dirampas dalam satu pemeriksaan pada Khamis lalu.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Selangor, Mohd. Sobri Md. Hashim berkata, kesemua sarang burung bernilai RM250,000 itu didapati cuba dieksport ke Vietnam.

“Pemeriksaan dengan kerjasama Polis Bantuan Lapangan Terbang mendapati kesemua 15 buah kotak gabus yang dibawa oleh seorang warga Vietnam itu tidak mempunyai dokumen yang sah seperti Permit Eksport dan Sijil Kesihatan.

“Susulan itu, kesemua sarang burung berkenaan telah ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Sobri, perbuatan mengeksport produk hasilan haiwan tanpa permit yang sah merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 11(2), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

“Pelaku boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3), akta sama dan jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

“Maqis akan sentiasa bersedia dalam melakukan tugasan di semua pintu masuk negara bagi memastikan komoditi haiwan, pertanian, ikan yang masuk mahupun keluar dari Malaysia mematuhi syarat juga peraturan yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan makanan terjamin dan selamat dimakan oleh rakyat Malaysia,” tegas beliau. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI