fbpx
RAMAI rakyat Malaysia mengambil keputusan bernikah di Thailand disebabkan perhubungan tidak direstui keluarga, selain berpoligami. – GAMBAR HIASAN

Bantu orang tak buat zina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TINGGAL di sebuah negeri yang bersempadan dengan Thailand membolehkan Man (bukan nama sebenar) sering mengunjungi negara tersebut.

Maka tidak hairanlah rakan-rakannya dari negeri lain sering mengajaknya ke negara itu kerana dia lebih arif tentang selok-belok tempat tersebut.

“Kebiasaannya, saya sering menemani rakan-rakan yang datang bercuti dan berhibur di sana.

“Namun beberapa tahun lalu, saya didatangi rakan yang meminta saya untuk membawanya bernikah di negara itu,”katanya.

Bermula dari situ, Man melihat peluang untuk menambah pendapatan dengan menjadi ejen nikah sempadan dengan membawa pasangan dari Malaysia untuk berkahwin di Thailand.

Sebelum itu, dia pernah menemani seorang rakan untuk bernikah di sana.

Jadi, sedikit sebanyak Man mengetahui tentang lokasi dan bagaimana cara untuk seseorang berkahwin di sana.

Sejak terlibat menjadi ejen nikah sempadan sejak tujuh tahun lalu, dia telah membawa banyak pasangan dari Malaysia untuk bernikah di sana.

“Pelbagai pasangan telah saya bawa untuk tujuan tersebut. Ada yang berusia tua, tidak kurang juga yang muda.

“Malah ada individu yang berpangkat turut menggunakan khidmat saya untuk membawanya dengan pasangannya ke sana,” jelasnya.

Tambahya, apa yang dilakukannya itu sekurang-kurangnya membantu mereka di luar sana tidak melakukan dosa zina.

Baginya, lebih baik mereka bernikah secara sah walaupun tanpa pengetahuan keluarga.

Kebanyakan pasangan yang menggunakan khidmatnya mengatakan hubungan mereka tidak direstui keluarga.

Paling ramai yang berbuat demikian adalah lelaki yang ingin poligami secara senyap tanpa pengetahuan isteri pertama.

SEJAK pintu sempadan dibuka selepas Covid, ramai rakyat Malaysia melawat Thailand dan ada dalam kalangan mereka mengambil kesempatan bernikah di sana. –GAMBAR HIASAN

Dalam pada itu, Man memberitahu, setelah pintu sempadan dibuka dan boleh melancong ke Thailand, permintaan untuk bernikah di sana semakin ‘rancak’.

“Sebaik pintu sempadan dibuka selepas ditutup lama akibat pandemik, saya membawa beberapa pasangan untuk berkahwin di sana.

“Biasanya saya membawa pelanggan untuk berkahwin di Songkhla,” terangnya.

Menurutnya lagi, harga yang dikenakan oleh ejen nikah sempadan juga semakin meningkat berbanding sebelum ini.

Sebelum pandemik Covid-19, harga yang ejen kenakan adalah sekitar RM2,000 hingga RM3,000.

Tetapi kini, harganya meningkat dan mencecah RM2,500 hingga RM4,000.

Namun ada juga ejen yang mengenakan harga lebih daripada itu.

“Harga ini adalah untuk pakej selama dua hari satu malam atau tiga hari dua malam, merangkumi kos untuk penginapan, makanan dan pengangkutan sepanjang di sana.

“Pakej minimum perlu dua hari bagi membolehkan pernikahan itu didaftarkan di konsulat Malaysia di negara berkenaan,” katanya.

Man menjelaskan, setelah akad nikah, pasangan perlu mendaftar di konsulat Malaysia untuk pengesahan.

Surat pengesahan itu kemudian digunakan untuk pasangan terbabit mendaftar pernikahan mereka di Malaysia.

Selepas didaftarkan di Malaysia, pasangan itu hanya dikenakan denda sahaja.

Walaupun ada yang mempersoalkan tindakannya yang menjadi ejen nikah sempadan kerana membantu kaum lelaki berpoligami, ia tidak menjadi masalah buat Man.

Katanya, dia bukan melakukan sesuatu perkara yang menyalahi undang-undang, sebaliknya membantu pasangan untuk menjalinkan hubungan secara sah.

“Saya hanya memudahkan urusan pasangan yang ingin berkahwin di Thailand dan akan meneruskan perkhidmatan ini pada masa hadapan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN