fbpx
Corbin Ong membuka jaringan pada minit ke-32 dan menyempurnakan penalti terakhir Harimau Malaya untuk mengesahkan kemenangan 5-3 ke atas Thailand pada penentuan penalti di Stadiun 700th Anniversery, Chiang Mai, sebentar tadi. - Foto FB FAM

Harimau Malaya ‘gigit’ Gajah Perang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENJAGA gol negara, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed dan pemain pertahanan, La’vere Corbin Ong muncul watak utama kepada kejayaan Harimau Malaya apabila mengesahkan ke pentas final Piala Raja selepas mengecewakan Thailand 5-3 pada penentuan penalti di Stadium 700th Anniversery, Chiang Mai, sebentar tadi.

Kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam tempoh 90 minit permainan sebenar dan Ahad ini, anak buah Kim Pan Gon dijadualkan bertemu Tajikistan yang turut meraih kemenangan 2-1 ke atas Trinidad & Tobago.

Corbin Ong yang sebelum itu membuka jaringan perlawanan pada minit ke-32 muncul wira apabila menyempurnakan sepakan penalti terakhir Harimau Malaya, manakala Ahmad Syihan menyerlahkan kualitinya ketika menghalang sepakan Supachok Sarachat.

Selepas terpaksa berdepan permulaan positif Harimau Malaya di babak pertama, tuan rumah makin tertekan apabila ketua pasukannya, Chanathip Songkrasin hanya mampu beraksi selama 14 minit sebelum digantikan oleh Sumanya Purisai.

Trio negara di barisan depan, Faisal Halim, Arif Aiman Hanapi dan Darren Lok begitu menyerlahkan mentaliti menyerang dan skuad Gajah Perang dilihat tampil lebih berhati-hati selepas penjaga golnya, Kampo Phatomakkakul sering kali berdepan serangan Malaysia.

Tindakan bijak Safawi Rasid menghantar bola ke arah belakang pertahanan lawan berjaya memisahkan kedua-dua pasukan apabila umpanan pada minit ke-32 itu berjaya disambar baik oleh Corbin Ong yang melakukan tampanan mudah untuk menewaskan Phatomakkakul.

Ketika Thailand tampil lebih garang di babak kedua, minit ke-61, Lok hampir mengejutkan tuan rumah buat kali kedua sebaliknya tandukan jarak dekat dilakukannya berjaya ditepis oleh Phatomakkakul.

Selepas itu, Ahmad Syihan seakan sudah pun memberikan sebab sebenar dirinya lebih layak mengisi kesebelasan utama Harimau Malaya apabila tiga kali mempamerkan aksi menyelamat berkualiti untuk menafikan percubaan daripada Suphanat Muenta dan Supachai Chaided.

Memasuki masa tambahan babak kedua, Pansa Hemviboon akhirnya menceriakan tuan rumah apabila menjaringkan gol penyamaan.

Pada penentuan penalti, empat lagi pemain negara, Dion Cools, Syafiq Ahmad, Matthew Davies dan Declan Lambert begitu tenang untuk menyempurnakan sepakan sebelum Corbin Ong melengkapkan malam gemilang buat Harimau Malaya. – KOSMO! ONLINE

POPULAR